KPDN guna dua akta menstabilkan harga dalam pasaran - Dr Fuziah
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggunakan dua akta iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengawal dan menstabilkan harga barangan di pasaran.
Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, kedua-dua akta itu memberikan punca kuasa kepada pihaknya untuk mengimbangi bekalan dan penawaran dalam pasaran.
"Sebagai contoh apabila bekalan kurang disebabkan faktor seperti geopolitik, bencana, dan perubahan iklim kemungkinan harga (barang) akan naik.
"Jadi kita akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan untuk menstabilkan seterusnya mengawal harga," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) tentang langkah kementerian dalam Belanjawan 2026 untuk menstabilkan harga barang asas seperti beras, telur, minyak masak dan ayam agar kekal mampu milik.
Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Setiausaha Agung KEADILAN berkata, usaha membanteras kartel juga merupakan langkah penting bagi memastikan harga barangan kekal terkawal.
Menurutnya, apabila wujud pakatan kartel, kumpulan berkenaan akan menentukan harga pasaran, sekali gus menjejaskan kestabilan harga.





