Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berbincang untuk memberi insentif kepada pengusaha kedai makan dan restoran yang menyediakan hidangan Menu Rahmah.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh pada sidang media selepas menghadiri satu program di Pasir Gudang, Johor semalam.
Walau bagaimanapun jelasnya perbincangan mengenai insentif itu masih di peringkat awal dan bentuk pemberian juga belum diputuskan.
"Setakat ini kita belum umumkan sebarang insentif tetapi ia sedang dibincangkan. Mungkin insentif yang diberi melihat keperluan perniagaan itu. Sebagai contoh, restoran mamak mungkin kita boleh bantu dapatkan tambahan kuota jumlah pekerja dan lain-lain," jelasnya sambil menjelaskan kementerian belum meletakkan sebarang nilai fiskal dalam insentif.
Fuziah turut berkata, kementerian mengambil maklum kesukaran sesetengah peniaga mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga bersesuaian untuk melaksanakan Menu Rahmah.
Justeru KPDN juga katanya bersedia untuk berunding dan membantu pengusaha yang ingin menyediakan Menu Rahmah dari segi mendapatkan bekalan bahan mentah.
Berhubung pengusaha kedai makan dan restoran yang mengehadkan waktu penjualan Menu Rahmah, Fuziah berkata inisiatif itu disertai secara sukarela, bagaimanapun mereka diharapkan dapat menguar-uarkan waktu penjualan supaya pelanggan tidak kecewa dengan ketiadaan menu berkenaan.
"Menu Rahmah adalah inisiatif sukarela bagi bersama-sama membangunkan ekosistem yang memahami masalah dihadapi rakyat dalam menangani kos sara hidup," katanya.
Untuk rekod, Menu Rahmah adalah inisiatif kerajaan menjaga kebajikan rakyat terutama B40, dengan menawarkan hidangan berkhasiat tengah hari dan malam pada harga RM5 sepinggan.
Dilaksanakan sejak hujung bulan lepas, ia tidak melibatkan sebarang peruntukan ataupun perbelanjaan daripada kerajaan.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan ia tidak menjejaskan atau merugikan mana-mana peniaga sebaliknya membantu meningkatkan jualan mereka dengan kedatangan lebih ramai pelanggan.
"Ia memberikan keuntungan kepada semua pihak, rakyat dapat menikmati harga yang lebih murah ...majoriti peniaga mengatakan dengan menawarkan Menu Rahmah, pelanggan mereka bertambah dan sedikit pun tidak jejas model bisnes," katanya ketika melancarkan Menu Rahmah Restoran Burger King semalam.
Comments