KPDN aktifkan bilik gerakan, bekalan makanan terjamin di negeri banjir
- Suara Keadilan

- 7 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka bilik gerakan di negeri terjejas banjir bagi memastikan bekalan makanan kekal mencukupi.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, bilik gerakan tersebut mula beroperasi hari ini di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan mula beroperasi semalam bagi memantau bekalan bekalan asas.
"Jika barang keperluan asas seperti gula dan minyak habis, bilik gerakan akan memastikan bekalan itu sampai ke kawasan terjejas.
"Setakat ini tiada lokasi terlibat yang dilaporkan mengalami gangguan bekalan makanan," katanya dipetik selepas Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Sementara itu jelasnya, persiapan juga telah dibuat bagi memastikan stok bekalan terutama di kawasan berisiko banjir tidak terganggu.
Ia melibatkan 2,102 pemborong, peruncit dan pengilang yang dibenarkan menambah stok sehingga 30% sepanjang musim tengkujuh.
Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri terus meningkat kepada 16,201 orang yang membabitkan 5,504 keluarga setakat 8 malam tadi dengan 90 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 9,830 orang daripada 3,593 keluarga dengan 40 PPS dibuka di empat daerah.









Comments