Kota Madani berteras nilai sejagat, contoh pembangunan bandar moden
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Projek pembangunan Kota Madani di Putrajaya membawa citra kehidupan berteraskan nilai-nilai universal sebagai menampung penempatan kakitangan awam di pusat pentadbiran negara itu, demikian jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menjelaskan projek melibatkan perumahan rakyat itu menyediakan kemudahan asas seperti tadika di aras bawah ke masjid selain laluan pejalan kaki ke sekolah, gimnasium serta ruang-ruang hijau.
"Ia adalah sebuah kota yang bukan sahaja menyediakan perumahan mampu milik buat penjawat awam, tetapi juga merupakan cita kehidupan yang berteraskan nilai-nilai yang universal seperti iman, ihsan, inovasi dan kelestarian.
"Kota ini bukan sekadar berbentuk fizikal, tetapi ia adalah falsafah dan cita-cita seperti yang diungkap pemikir dan pengembara ulung Ibnu Khaldun bahawa kota ialah pusat umran hadhari, yakni tempat bertemunya idealisme, teknologi dan nilai," ujarnya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu beliau hari ini menyempurnakan perasmian projek Kota Madani di Presint 19, Putrajaya sebagai sebahagian daripada pembangunan baharu di pusat pentadbiran Persekutuan itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan bahawa kerajaan tidak mahu meneruskan budaya membina mercu serta gedung-gedung megah tanpa roh.
"Yang kita gerakkan kini adalah bandar manusiawi, menyantuni rakyat terbanyak — dari warung sederhana hingga ke ruang tamu yang selesa buat anak-anak bangsa," kata beliau.
Beliau berkata ramai orang beranggapan dan berceloteh melulu bahawa pembangunan Kota Madani seperti projek-projek gajah putih lain yang kini hanya tinggal nama.
Justeru itu, Perdana Menteri menjelaskan projek tersebut menggunakan kaedah usahasama kerajaan dan swasta (PPP) sebagaimana dilaksanakan dalam pembangunan bangunan-bangunan utama di Putrajaya sebelum ini.
Pendekatan ini mengurangkan beban kewangan langsung Kerajaan dan mempercepat pelaksanaan projek. Ia bukan konsep baharu, tetapi ia berkonsep menambah baik, jauh sekali dibina ‘from scratch’ yang tentunya menelan belanja yang besar. Bezanya ia diangkat dengan ruh dan sifat manusiawi yang tinggi, ujarnya.
Menjawab kepada kos pembangunan RM4 bilion yang dipertikaikan orang ramai, Anwar berkata jumlah tersebut bukan untuk bermegah dan mendabik dada sebaliknya ia bagi menampung keperluan 10,000 keluarga.
"Tidak ada komisen, jauh sekali kebocoran dan ketirisan. Hanya iltizam dan tekad untuk mempercepat, mempermudah, menyempurnakan. Ia bukan projek peribadi Perdana Menteri, ia projek rakyat dan untuk masa depan bangsa," katanya.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapan perasmiannya berkata projek Kota MADANI di Presint 19 perlu menjadi contoh teladan bagi pelaksanaan pembangunan bandar di seluruh negara.
Beliau menjelaskan pembangunan itu tidak boleh ditentukan sepenuhnya oleh pemaju semata-mata, sebaliknya perlu dirancang melalui pendekatan menyeluruh yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat.
"Jangan hanya tunduk kepada pemaju. Kitalah yang sepatutnya merancang manakala pemaju hanya berperanan memberi pandangan untuk penambahbaikan.
"Jangan biarkan sesuatu projek ditentukan sepenuhnya oleh syarikat pemaju, kerana lazimnya mereka hanya memberi saranan berdasarkan kepentingan keuntungan semata-mata," katanya.
Projek berkonsep bandar pintar bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan 'build, lease, maintain and transfer' (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT) tanpa melibatkan kos daripada kerajaan pada peringkat awal.
Kota MADANI bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah bertingkat serta pelbagai kemudahan awam.
Comentários