Konvoi 100 kenderaan AMK desak Azam disiasat, bercuti
- Suara Keadilan
- Jan 10, 2022
- 1 min read

Kira kira 100 buah kereta berkonvoi dari Dataran Putrajaya ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki disiasat secara telus dan bercuti sepanjang siasatan berjalan.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, P Prabakaran tujuan AMK mengadakan konvoi tersebut adalah bagi menyelamatkan SPRM daripada terus dipersoalkan integriti oleh rakyat.
"Perkara ini sangat penting kerana semua hal berkaitan SPRM. Kita AMK rasa perlu bangkit beri tekanan kepada kerajaan untuk pastikan Azam Baki undur atau pun pecat atau beri cuti sampai kes selesai.
"Orang keliru mengapa pegawai tinggi ada saham yang banyak dalam satu syarikat," katanya.
Konvoi 100 kenderaan AMK berkenaan tiba di ibu pejabat SPRM lebih kurang pukul12.00 tengah hari dan disambut deretan kenderaan peronda polis di luar pintu utama.
AMK sempat melakukan himpunan memegang sepanduk mendesak Azam berundur di pintu utama pagar bangunan SPRM sebelum menyerahkan sekeping kad memorandum ringkas bertulis "Harapkan pegar, pegar makan padi, Harapkan Azam Baki, SPRM hilang integriti".

Comments