Konvensyen Wanita Selangor fokus peluang sektor ekonomi
- Suara Keadilan
- May 26
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor bakal menganjurkan Konvensyen Wanita Selangor pada 18 Jun ini sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memperkasa golongan wanita di negeri itu.
Konvensyen sulung tersebut akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan dijadual dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.
Anfaal berkata, program berkenaan merupakan anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan bertujuan memperkukuh peranan dan potensi wanita dalam pelbagai sektor ekonomi.
"Tiga komponen utama akan diketengahkan. Pertama, ‘Konvensyen Her Career’ yang diadakan dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bertujuan membantu wanita kembali ke alam pekerjaan.
"Kedua, Ekspo Hasil yang mempamerkan produk dan hasil karya wanita Selangor, manakala komponen ketiga ialah sesi ‘pitching’ usahawan wanita bagi menarik perhatian pelabur dan pembeli," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Usahanita Digital di pusat beli-belah Central i-City, Shah Alam, pada Ahad.
Menurut Anfaal, konvensyen itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta wanita dari pelbagai latar belakang, dan diharap menjadi platform pengukuhan jaringan serta peluang pembangunan ekonomi wanita di negeri ini.
Comentarios