Konvensyen PH 2026 perkukuh kesepaduan hadapi PRN, PRU16
- Redzuan Shamsudin

- May 8
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pada 17 Mei ini di Persada Johor International Convention Centre sebagai usaha memperkukuh kesepaduan kepimpinan serta menyelaras gerak kerja politik menjelang pilihanraya akan datang.
Bertemakan “Tekad MADANI, Harapan Rakyat”, konvensyen yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijangka menjadi platform penting untuk memperincikan hala tuju gabungan berkenaan dalam mendepani cabaran semasa negara.
Menurut kenyataan bersama Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil; Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari; dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan, konvensyen tersebut akan memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi, kestabilan politik serta peningkatan keyakinan rakyat.
"Sebagai teraju Kerajaan MADANI, Pakatan Harapan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik serta keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16," kata kenyataan itu.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan, selain kehadiran pimpinan utama gabungan bagi memperkukuh kesiapsiagaan politik.
Menurut kenyataan itu lagi, kali terakhir konvensyen diadakan adalah pada tahun 2022, dan penganjuran kali ini menunjukkan kesungguhan gabungan itu memperjuangkan isu isu rakyat.
"Penganjuran semula ini mencerminkan komitmen berterusan Pakatan Harapan dalam memperkukuh organisasi, memperkasa agenda reformasi dan memastikan aspirasi Kerajaan MADANI terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat," kata mereka.




Comments