Konsert Orkestra KL-Beijing Manifestasi Hubungan Istimewa 50 Tahun
- Suara Keadilan
- May 27, 2024
- 2 min read

Oleh: Andre Lai Cheng Heng
ULASAN: Selama 50 tahun, China dan Malaysia telah menikmati hubungan diplomatik yang baik. Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang menjalin hubungan diplomatik dengan China atau Republik Rakyat China pada 31 Mei 1974.
Dalam era landskap geopolitik dan sistem perdagangan antarabangsa yang kompleks, Malaysia dan China mampu mencapai banyak matlamat yang sama, seperti menggalakkan dan mencapai pembangunan mampan, memajukan kerjasama pragmatik dalam sektor utama seperti perdagangan, teknologi, tenaga baharu, perubahan iklim, dan penyelarasan dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala.
PM rapatkan hubungan dengan China
Sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkunjung ke China sebanyak dua kali dan kembali dengan komitmen terhadap Belt and Road Initiative (BRI) yang membuahkan hasil kepada kedua-dua negara.

Pada 2023 sahaja, Malaysia mencapai memorandum persefahaman dengan China serta memperoleh sejumlah RM189.84 bilion nilai pelaburan pada tahun yang sama. Malah PM menjemput Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Qiang untuk lawatan rasmi ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 2024.
Pada masa sama, ketibaan pelancong China ke Malaysia juga meningkat secara berterusan, malah minat pelancong China telah pulih secara beransur-ansur kepada angka satu juta pelancong pada 2023 – satu lagi inisiatif daripada Kerajaan Malaysia MADANI untuk merancakkan industri pelancongan negara.
Peningkatan perdagangan dua hala
Apa yang lebih memberangsangkan ialah perkembangan positif perdagangan antara kedua-dua negara. Menurut MATRADE, pada suku pertama 2024 sahaja, jumlah perdagangan Malaysia dengan China telah melihat peningkatan sebanyak 3.3% diukur tahun ke tahun.

Hari ini, China telah menjadi negara contoh. Tidak lagi China terkenal dengan pekerja kolar biru dan buruh. China kini mempunyai lebih banyak tawaran memandangkan kemajuannya dalam industri teknologi tinggi kecerdasan buatan (AI), robotik dan automasi industri.
Saya pernah bekerja di China pada awal 2000-an dan kembali ke China semula pada 2018 sebagai sebahagian daripada delegasi pimpinan KEADILAN. Tempoh 15 tahun telah menyaksikan kemajuan yang luar biasa oleh kerajaan China dalam meningkatkan sosio-ekonomi dan pembasmian kemiskinan.
Baru-baru ini pada pertengahan Mei 2024, delegasi serupa diketuai oleh Naib Presiden Nurul Izzah Anwar melawat China bersama rombongan terdiri daripada pelapis pemimpin Angkatan Muda Keadilan dan Wanita KEADILAN.
Konsert Malaysia - China di Auditorium DBKL
Konsert ini melihat kolaborasi antara Orkestra DBKL dan Orkestra Simfoni Beijing, dengan lebih 28 pemuzik terkenal Beijing untuk mempamerkan karya lagu klasik dari kedua-dua negara.
Di pihak Orkestra DBKL, dendangan lagu rakyat seperti Gurindam Jiwa, Kenek-Kenek Udang, Watimang Landak, Zapin Pusaka, Joget Pahang dan Jambatan Tamparuli menggegar Auditorium Bandaraya. Di samping itu, acara ini merupakan yang pertama setelah pengubahsuaian besar-besaran dijalankan oleh DBKL.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ouyang Yujing, Duta Besar China di Malaysia serta tetamu kenamaan dari China. Sementara di pihak Malaysia diwakili Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan Dan Sukan DBKL, Naquib Hamdan dan pengurusan tertinggi pentadbir bandaraya.
Sebagai rakyat Malaysia berketurunan Cina, ketua parti KEADILAN dan salah seorang Ahli Lembaga Penasihat DBKL (seorang lagi merupakan Carmen Leong dari Parti Tindakan Demokratik – DAP) yang hadir pada malam itu, saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada hadirin yang menyaksikan konsert berprestij ini.
Sesungguhnya dengan penganjuran konsert orkestra melibatkan pemuzik dan penghibur dari kedua-dua negara, ia membuktikan manifestasi hubungan istimewa antara Malaysia dan China ternyata memberi kesan mendalam terhadap rakyat bagi tempoh 50 tahun seterusnya.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur
Comments