Konsert Good Vibes Festival 2023 malam ini, esok dibatalkan - Fahmi
- Redzuan Shamsudin

- Jul 22, 2023
- 1 min read

Konsert Good Vibes Festival (GVF) 2023 di Litar Antarabangsa Sepang yang berbaki lagi 2 hari dibatalkan serta merta susulan aksi biadap dan melanggar undang undang vokalis kumpulan "The 1975" dari United Kingdom, Matty Healy di pentas konsert malam tadi.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil membuat keputusan tegas itu selepas memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023, iaitu Future Sound Asia ke pejabatnya tengah hari tadi.
"Ingin saya tegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan amat jelas.
"Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
"Justeru, saya telah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai," katanya dalam kenyataan.
Mengenai implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket Fahmi menggesa penganjur mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket yang tidak dapat mengikuti baki konsert pada hari ini dan esok.
"Saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket.
"Kerajaan sentiasa komited menyokong pembangunan industri kreatif dan kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, jangan sesekali menyentuh sensitiviti masyarakat, khususnya yang bertentangan dengan adab dan nilai budaya tempatan," katanya lagi.
Malam tadi Ketika mengadakan persembahan, Healy dilihat memegang botol arak selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta mencium seorang anggota kumpulannya yang merupakan seorang lelaki.
Tindakan itu menyebab pihak pengajur menghentikan konsert berkenaan.




Comments