KEADILAN akan mengadakan kongres nasional tahunan 2021 secara dalam talian sepenuhnya pada Jun ini.
Menurut Ketua Setiausaha Pengelola, merangkap Pengarah Kongres KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, kongres yang dijadualkan pada 4, 5 dan 6 Jun diubah formatnya daripada hybrid (campuran) platform atas talian dan dengan kehadiran peserta, kepada di atas talian sahaja.
"Ini berbeza dengan perancangan asal kami yang akan menganjurkan secara bersepadu (hybrid) sepertimana diumumkan dalam sidang media bertarikh 3 Mei 2021.
"Kongres Nasional Tahunan KEADILAN akan dimulakan dengan kongres sayap-sayapnya, iaitu Kongres Wanita KEADILAN pada 4 Jun 2021 disusuli Kongres Angkatan Muda KEADILAN pada 5 Jun 2021, dan diakhiri dengan Kongres Nasional KEADILAN pada 6 Jun 2021.
"Kesemua 2,400 orang perwakilan dan pimpinan KEADILAN akan menyertai kongres ini menerusi aplikasi zoom daripada rumah masing-masing dan tidak berlaku perkumpulan fizikal. Pihak media dan orang awam boleh mengikuti persidangan menerusi siaran secara langsung dari laman media sosial KEADILAN," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, langkah berkenaan diambil selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 yang semakin tidak terkawal.
Hal itu juga, katanya, sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan persidangan diadakan.
"KEADILAN telah menulis kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung keputusan ini selain turut memaklumkan keputusan terbaru, berhubung perubahan pelaksanaan kongres, kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya lagi.
Dalam pada itu, KEADILAN kata Nik Nazmi, menyeru kepada semua pihak, tidak kira status sosial yang dipegang sama ada ‘kayangan’ atau marhaen, untuk terus mematuhi SOP dan bertanggungjawab atas setiap tindakan dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid 19.
Comments