Kongres khas KEADILAN lulus pindaan perlembagaan pemilihan parti
- Suara Keadilan
- Dec 15, 2024
- 1 min read
Updated: Dec 16, 2024

Kongres Nasional Khas KEADILAN 2024 di Shah Alam hari ini berjaya meminda perlembagaan parti berhubung sistem pemilihan jawatan utama parti dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Setiausaha Agung, Dr Fuziah Salleh berkata demikian sebaik sahaja undian pindaan selesai dalam kongres tertutup yang dihadiri perwakilan secara fizikal dan atas talian.
"Parti Keadilan Rakyat telah mengadakan Kongres Khas di Shah Alam, Selangor bagi membincangkan pindaan kepada perlembagaan parti berkait proses pemilihan parti, yang meningkatkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi 6 jawatan jawatan tertinggi parti serta 20 anggota MPP di Kongres Nasional.
"Pindaan perlembagaan ini turut melibatkan prinsip penetapan kuota gender dan etnik.
"Kongres Khas ini telah menyaksikan lebih dua pertiga perwakilan bersetuju dan meluluskan semua pindaan perlembagaan parti yang telah diusul," katanya.
Menurut sumber, kehadiran perwakilan secara fizikal hari ini sebanyak 931 orang dan 223 perwakilan atas talian. Jumlah 1,154 orang. Daripada jumlah itu sebanyak 1,001 perwakilan bersetuju dengan usul yang dibentangkan.
Berkenaan Kongres Nasional 2024 dan 2025 pula, kata Fuziah, hal tersebut akan diumumkan kemudian.
"Tarikh baharu bagi Kongres Nasional 2024 dan 2025 akan diumum setelah MPP membuat keputusan dalam mesyuarat terdekat," katanya lagi.
Comentários