Kongres KEADILAN 2026 hantar isyarat parti kekal teguh - Saifuddin
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Kongres Nasional KEADILAN yang dijadual berlangsung di Melaka pada 25 hingga 28 Jun depan disifatkan sebagai pentas penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti serta menghantar mesej jelas terhadap landskap politik semasa.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menegaskan, kongres tersebut akan menjadi platform untuk KEADILAN menzahirkan pendirian bahawa parti itu tidak akan tunduk kepada permainan persepsi politik atau tekanan yang boleh menggugat agenda perjuangan rakyat.
"Kongres ini bukan sekadar acara tahunan parti, tetapi medan penting untuk menyusun kekuatan, memperkemas koordinasi dan memastikan seluruh pasukan berada dalam keadaan bersedia menghadapi cabaran politik semasa,
"Ketika ada yang sibuk mengira siapa mahu keluar dan siapa mahu melompat, kita memilih untuk terus bekerja, memperkukuh organisasi dan menyusun kekuatan pasukan.
"Parti ini lahir daripada luka perjuangan, dibesarkan dengan pengorbanan dan dipertahankan oleh mereka yang tidak pernah takut berdepan badai, justeru parti ini perlu terus bergerak secara tersusun dan berdisiplin," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Hantaran itu menyusul mesyuarat bagi mengkordinasi perjalanan Kongres KEADILAN 2026 yang dipengerusikannya semalam.
Menerusi hantaran sama, Saifuddin mengingatkan bahawa sejarah politik membuktikan bahawa kejayaan perjuangan tidak ditentukan oleh pihak yang paling lantang bersuara, sebaliknya oleh mereka yang paling bersedia dan konsisten mempertahankan prinsip.
"Insya-Allah, kita akan terus bergerak sebagai satu pasukan yang disiplin, tersusun dan teguh mempertahankan prinsip demi masa depan rakyat dan negara," tambahnya.




Comments