Konflik Iran-Israel: MARA pantau keselamatan 685 pelajar di Jordan
- Suara Keadilan
- Jun 15
- 2 min read

Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan keselamatan dan kebajikan 685 pelajar tajaan agensi itu di Jordan sentiasa menjadi keutamaan.
Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pejabat MARA di Jordan telah diarahkan memastikan pelajar berada dalam keadaan selamat susulan ketegangan konflik Iran-Israel yang semakin memuncak di Asia Barat.
"Pelajar dinasihatkan berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mengelakkan kawasan berisiko atau aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.
"Pelajar boleh mendapatkan maklumat atau bantuan lanjut dengan menghubungi Pengarah MARA Jordan, Hasnim Hashim di talian +201010639307," katanya di Facebook.
Ketegangan di Asia Barat kini menjadi perhatian global susulan serangan dilancarkan rejim Israel terhadap Iran pada Jumaat. MARA menaja ratusan pelajar dalam pelbagai bidang di Jordan, termasuk pengajian agama, perubatan dan kejuruteraan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menggesa rakyat Malaysia supaya menangguhkan sebarang perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq dan Jordan.
"Rakyat Malaysia yang berada di Iran digesa untuk mengemas kini maklumat peribadi mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.
"Mereka dinasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan gangguan perjalanan, termasuk penerbangan, dan menyesuaikan rancangan mereka mengikut keadaan semasa," menurutnya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan perlu menghubungi Kedutaan Besar Malaysia yang terdekat.
Berikut adalah butiran perhubungan untuk Kedutaan Besar Malaysia di lokasi utama:
Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran - No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb. Nombor telefon: +98 21 8807 2444 / +98 21 8807 8606 / +98 933 535 2602 atau e-mel: mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com.
Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad, Iraq - Mezzanine Floor, Babylon Rotana Hotel, Al Abassi Street, Al Jadria, Baghdad, Iraq. Nombor telefon: +964 787 859 8775 / +964 786 497 0087 atau e-mel: mwbaghdad@kln.gov.my.
Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan - No. 5, Hassan Al Kayed Street, Off Abai Street, Abdoun, Amman 11183, Jordan. Nombor telefon: +962 6590 2400 / +962 78590 2400 atau e-mel: mwamman@kln.gov.my.
Comments