Konflik Asia Barat: Rakyat perlu lebih berhemah hadapi kekangan
- Akmal Manaf

- May 15
- 1 min read

Krisis bekalan global yang sedang melanda beberapa negara dijangka memberi cabaran kepada pengeluaran barangan harian berasaskan petro kimia di Malaysia, namun kerajaan telah mengambil langkah awal bagi membantu industri dan mengurangkan kesan terhadap pengguna.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, krisis bekalan global yang dijangka memasuki gelombang kedua berpotensi memberi kesan terhadap bekalan dan harga barangan keperluan harian berasaskan petrochemical di negara ini.
"Seperti yang dijelaskan oleh Saudara Nurhisham Hussein (Penasihat Ekonomi Perdana Menteri) dalam video tersebut, barangan harian seperti lampin pakai buang, barangan plastik dan macam-macam lagi (akan berkurangan).
"Alhamdulillah Kerajaan MADANI juga telah mula membantu industri yang bergantung kepada bahan mentah berasaskan petrochemical supaya operasi serta pengeluaran dapat diteruskan tanpa gangguan besar.
"Pada masa sama, bantuan turut disalurkan kepada golongan petani, penjaja dan perniagaan kecil yang terkesan. Kemudahan pinjaman kepada perniagaan juga telah diperluaskan bagi membantu mereka menghadapi tekanan kos serta cabaran rantaian bekalan semasa," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution Ismail berkata, apa yang penting ketika ini ialah kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa susulan perkembangan krisis bekalan global.
"Kita perlu mula menyesuaikan gaya hidup dan penggunaan harian secara lebih berhemah, khususnya melibatkan bahan keperluan harian yang berasaskan petrochemical.
"Insya-Allah, Kerajaan MADANI bersedia menangani krisis ini dan dengan kerjasama semua pihak, negara kita mampu menghadapi cabaran ini dengan tenang, tersusun dan penuh tanggungjawab," ujarnya lagi.




Comments