top of page

Komuniti MADANI perlu proaktif salur isu rakyat - Dr Wan Azizah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 hours ago
  • 1 min read
DS Dr Wan Azizah berucap di Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI. Foto kredit: NST
DS Dr Wan Azizah berucap di Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI. Foto kredit: NST

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Ahli Komuniti MADANI agar memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu masyarakat.


Beliau menegaskan bahawa komuniti perlu berperanan lebih daripada sekadar penyampai inisiatif kerajaan, sebaliknya sentiasa peka terhadap isu akar umbi dan menyalurkan suara rakyat secara terus kepada pihak berkuasa.


Tambah Dr Wan Azizah, walaupun Komuniti MADANI tidak mampu menyelesaikan semua masalah, mereka boleh membantu menghubungkan rakyat dengan pihak berkuasa dan memastikan setiap isu yang diutarakan diberi perhatian untuk tindakan lanjut.


"Jadi ini yang dikatakan mata dan telinga kerajaan, mereka perlu mahir dan pada masa sama bantu lihat apa masalah yang berlaku dan ambil tindakan susulan.


"Kebajikan, hubungkan dengan agensi berkenaan, maklumat kerajaan, sampaikan maklumat yang tepat kerana sekarang ini banyak berita palsu," kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu dipetik laporan media.


Beliau berkata begitu ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur pada Ahad.


Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Duta Komuniti MADANI kepada Azizi Anas dan S. Yugan, selain watikah pelantikan kepada wakil daripada enam subzon Parlimen Bandar Tun Razak.


Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Nor Maizatul Akmal Pujat serta Pengerusi Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak, Jonathan Bella.


Sementara itu Dr Wan Azizah turut mengingatkan, kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada hubungan antara jiran dan kesediaan masyarakat pelbagai kaum serta latar belakang untuk saling membantu dan bekerjasama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page