Komplot pro-Zionis gugat sistem Raja Berpelembagaan, kestabilan politik
- Helmi Mohd Foad

- 10 hours ago
- 2 min read

Dakwaan kewujudan komplot berkaitan rangkaian pro-Zionis Israel bukan sekadar serangan terhadap kepimpinan politik semasa, malah merupakan cubaan tersusun untuk melemahkan sistem Raja Berpelembagaan yang menjadi tunjang kestabilan dan keutuhan Malaysia.
Pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial (SekPur), Shahbudin Embun (gambar, kanan) berkata, pihaknya memandang serius pendedahan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai komplot tersebut yang didakwa cuba mempengaruhi keadaan politik negara melalui manipulasi maklumat dan dana asing berskala besar.
"Apabila rangkaian asing cuba mencatur jatuh bangun sesebuah kerajaan melalui manipulasi persepsi awam dan tekanan antarabangsa, tindakan tersebut secara tidak langsung mencabar kuasa budi bicara serta kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan kestabilan negara menurut Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahbudin memberitahu SekPur turut mengesan wujudnya percubaan halus di media sosial untuk menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap sistem pemerintahan negara termasuk institusi diraja bagi membuka ruang kepada agenda asing.
Sehubungan itu, katanya jentera siber SekPur diarahkan untuk mematahkan setiap dakyah yang cuba meremehkan atau melemahkan sistem Raja Berpelembagaan negara.
"Mana-mana pihak tempatan yang sanggup menjadi proksi kepada lobi Zionis adalah pengkhianat watan.
"Tindakan itu bukan sahaja merosakkan kestabilan politik tanah air, malah menggadaikan maruah negara yang selama ini konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin di pentas antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, SekPur memberi amaran perpecahan politik melampau di negara ini hanya akan membuka ruang kepada campur tangan kuasa luar.
"Perbezaan pandangan politik tidak boleh dibiarkan menjadi alat kepada pihak asing untuk meruntuhkan institusi negara yang menjadi asas kestabilan Malaysia".
Sehubungan itu, beliau menegaskan pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang dipercayai terlibat dalam menerima dana asing bagi tujuan menggugat kestabilan.
"SekPur menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu atau organisasi yang dipercayai menerima dana asing bagi tujuan mensabotaj kestabilan politik negara serta menggugat sistem Raja Berpelembagaan.
"SekPur turut mendesak kerajaan menggubal undang-undang lebih tegas bagi melindungi sistem demokrasi negara daripada pengaruh asing," katanya lagi.




Comments