Kompleks Sukan Kuala Muda untuk rakyat Kedah, diusahakan sejak 2023
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Pembinaan kompleks sukan di Kuala Muda, Kedah bukan projek baharu seperti didakwa sesetengah pihak.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pembinaan kompleks bernilai RM10 juta itu juga bukan melalui peruntukan khas selepas beliau memegang jawatan kabinet dan tiada salah guna kuasa berkaitan kelulusan projek tersebut.
Dr Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani sementara itu menjelaskan, perbincangan berkaitan pembinaan kompleks sukan itu sebenarnya sudah bermula seawal 2023.
"Projek ini telah lama saya perjuangkan sejak menjadi Ahli Parlimen (Sungai Petani)… telah beberapa kali diumumkan sebelum ini dan kini pada fasa pelaksanaan.
"Saya turut beberapa kali membangkitkan perkara ini di Parlimen termasuk dalam sesi khas yang dijawab oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan," katanya dipetik.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu ditemui pemberita selepas mengetuai konvoi membabitkan kira-kira 200 motosikal ke Dataran Tsunami Kota Kuala Muda.
Beliau kemudiannya mengunjungi sebuah masjid di kawasan berkenaan bagi menyerahkan sumbangan berjumlah RM45,000 untuk kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur.
Dr Mohammed Taufiq baru-baru ini memaklumkan, projek kemudahan sukan moden itu kini di Bandar Puteri Jaya itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan.
Proses perolehan dan sebagainya sedang berjalan dan beliau bersama pihak terlibat akan memantau perkembangan dari semasa ke semasa bersama bagi memastikan bahawa projek itu dapat dilaksanakan.









Comments