Kolaborasi agung: Pemulihan sokongan Melayu berteraskan pembaharuan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Usaha memulihkan sokongan masyarakat Melayu perlu digerakkan melalui pembaharuan dasar dan prestasi pentadbiran, bukannya melalui pengelompokan politik berasaskan identiti.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, beliau menghormati Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta seorang pemimpin yang berpengalaman memahami dinamika politik Melayu.
Namun begitu, menurut beliau cadangan berkaitan “kolaborasi agung parti Melayu-Islam” perlu diperjelaskan dengan lebih berhati-hati agar tidak disalah tafsir oleh rakyat sebagai langkah mengundur ke arah politik lama.
"Saya menghormati Datuk Seri Zahid sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan sebagai pemimpin yang memahami denyut nadi politik Melayu sejak sekian lama.
"Namun dalam semangat keterbukaan, cadangan kolaborasi ini perlu diperjelaskan dengan lebih cermat supaya tidak dilihat sebagai kembali kepada politik lama yang sedang kita tinggalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz mengakui kebimbangan terhadap sokongan Melayu kepada Kerajaan Perpaduan dan keperluan menjaga kepentingan umat adalah isu yang sah.
Namun, beliau menegaskan bahawa tuntutan rakyat Melayu hari ini jauh lebih bersifat praktikal dan berasaskan realiti kehidupan.
"Rakyat Melayu bukan menuntut penyatuan slogan, mereka menuntut penyelesaian nyata tentang kos sara hidup, peluang ekonomi, integriti kepimpinan dan masa depan generasi baru Melayu," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemulihan sokongan kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan akan lebih meyakinkan sekiranya digerakkan melalui pembaharuan dasar, prestasi pentadbiran yang berkesan serta kejujuran politik, bukannya melalui pembentukan blok politik berasaskan identiti yang berpotensi menimbulkan keresahan dalam kalangan rakan kerajaan dan masyarakat majmuk.
"Kerajaan Perpaduan ini wujud kerana kita sama-sama sedar bahawa Malaysia tidak boleh terus dibina atas politik pengelompokan. Kekuatan kita hari ini ialah kesediaan untuk memerintah bersama, walaupun berbeza latar dan sejarah politik," katanya.
Mahfuz turut menyatakan keyakinan bahawa sebarang inisiatif politik, walaupun berniat baik, tidak seharusnya mengaburkan komitmen bersama terhadap agenda perpaduan nasional yang sedang dibina.
"Sebarang bentuk kerjasama politik selepas ini dan apa jua namanya diletakkan di atas landasan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya, bukan dibaca sebagai isyarat politik sempit yang boleh melemahkan keyakinan awam," kata beliau lagi.









Comments