KKM usaha selesai isu kesesakan hospital seluruh negara
- Suara Keadilan
- Feb 7, 2023
- 1 min read

Isu kesesakan Jabatan Kecemasan di hospital kerajaan akan terus menjadi perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian akan terus mendengar dan berusaha mengenal pasti penyelesaian bagi isu-isu yang dihadapi oleh setiap Jabatan Kecemasan memandangkan cabaran berbeza dialami mereka.
Mengambil contoh lawatan di Jabatan Kecemasan sebuah hospital kuarternari baru-baru ini, Zaliha berkata lawatan itu mendapati petugas barisan hadapan bergelut kerana pesakit yang sepatutnya dimasukkan ke wad tersekat di jabatan itu.
"Kelewatan kemasukan menyebabkan kesan domino yang teruk.
"Apa yang sedang dilakukan (oleh kementerian) ialah mengakui keseriusan masalah ini serta keletihan fizikal dan mental yang dialami oleh petugas dan pesakit di lapangan.
"(Serta) perbincangan dalaman dan hala tuju mengenai perjawatan dan pembukaan lebih banyak katil (serta) memperkasa kepimpinan di lapangan," katanya menerusi ciapan di Twitter.
Tambah Ahli Parlimen Sikijang itu lagi, pihaknya mengesan banyak masalah yang berlaku di hospital merupakan isu diwarisi dan sistemik.
Ramai petugas barisan hadapan bekerja melebihi jangkaan ketika pandemik dan terus melakukannya memandangkan sistem penjagaan kesihatan kini berdepan kes penyakit tidak berjangkit yang terlampau banyak
Walau bagaimanapun beliau yakin melalui libat urus yang mencukupi pada peringkat tempatan mampu menangani masalah dihadapi hospital dan kakitangannya.
Comments