KKM lancar 5 dokumen utama, perkukuh tangani Talasemia
- Suara Keadilan
- Jun 2
- 1 min read

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh usaha menangani penyakit Talasemia, sejenis penyakit genetik, menerusi pelancaran lima dokumen utama yang merangkumi aspek diagnosis, rawatan, pencegahan serta kaunseling genetik.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dokumen-dokumen berkenaan yang dilancarkan pada Sabtu akan menjadi rujukan komprehensif dalam pengurusan penyakit talasemia di Malaysia.
"Talasemia merupakan penyakit keturunan dengan rawatan yang panjang dan kompleks. Kos rawatannya boleh mencecah sehingga RM2.74 juta bagi setiap pesakit.
"Namun, yang paling penting ia penyakit yang boleh dicegah. Pelaburan dalam saringan awal, pendidikan kesihatan genetik dan khidmat kaunseling bukan sekadar memenuhi keperluan dasar, tetapi strategi penjimatan dan pelaburan sosial untuk kesejahteraan generasi masa depan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Dr Dzulkefly turut memaklumkan, setakat ini, seramai 212 pesakit talasemia berjaya disembuhkan melalui prosedur pemindahan sum-sum tulang.
"Selain kaedah rawatan, langkah pencegahan berterusan juga menyumbang kepada penurunan sebanyak 49 peratus dalam kelahiran baharu penghidap talasemia sepanjang tempoh 12 tahun dari 2009 hingga 2021," tambahnya.
Kelima-lima dokumen yang dilancarkan itu ialah Pelan Strategik dan Pelan Tindakan Program Kawalan dan Pencegahan Talasemia Kebangsaan 2024–2030;Clinical Practice Guidelines: Management of Thalassaemia (Edisi Kedua); Annual Report of the Malaysia Thalassaemia Registry 2022–2023; Garis Panduan Program Saringan Talasemia Kebangsaan di Penjagaan Kesihatan Primer dan Laporan dan Pemetaan Pembawa Talasemia bagi Program Saringan Murid Tingkatan 4 (2017–2021).
Pelancaran dokumen-dokumen ini menurut Dr Dzulkefly, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem kesihatan awam dan menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
"Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk memastikan akses kesihatan yang adil, inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat, selaras dengan aspirasi ke arah negara sihat dan berdaya tahan," tegas beliau.
Comentarios