Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mencari langkah terbaik bagi menangani kenaikan kos perubatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sehubungan itu pihaknya kini sedang mengkaji pembangunan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) kebangsaan dalam perawatan hospital seluruh negara.
"Kita sedang giat memikirkan kaedah untuk melancarkan DRG di peringkat nasional bagi membolehkan hospital universiti, hospital tentera dan swasta turut mengadaptasi penggunaan sistem ini dalam menentukan kos (rawatan pesakit) supaya tidak berlebihan.
"Ia juga membolehkan golongan M40 dan B40 mendapatkan rawatan jelas di sektor swasta dan bukan datang dengan perasaan gusar akan dikenakan harga berlebihan," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau sebelumnya menjawab soalan tambahan mengenai penyelesaian berkesan berhubung isu kenaikan caj premium insurans kesihatan keterlaluan terhadap pengguna.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS), Lukanisman menjelaskan, ia dikawal selia di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Selain itu perkara berkaitan etika dan profesionalisme profesion pengamal perubatan dikawal selia Majlis Perubatan Malaysia (MPM) selaku badan yang mengawal selia pendaftaran pengamal perubatan di Malaysia.
"Pesakit boleh membuat aduan berkaitan etika amalan perubatan oleh pengamal perubatan, termasuk perkara pemberian perkhidmatan dan preskripsi ubatan melebihi keperluan seperti dibangkitkan kepada MPM.
"Walaupun perkara ini di luar kawal seliaan Akta 586, akta itu turut menetapkan peruntukan berkaitan mekanisme pengendalian aduan terhadap ketidakpuasan hati pesakit," ujarnya.
留言