top of page

KKM akan perluas fasiliti rawatan kanser untuk kanak-kanak

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 2, 2024
  • 1 min read


Fasiliti kesihatan khusus bagi memberi rawatan kepada pesakit kanser terutama di kalangan kanak-kanak akan ditambah baik dan diperluas.


Timbalan Menteri Kesihatan (KKM) Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu perlu untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang sedang mendapatkan rawatan, selain meningkatkan kesedaran mengenai pendidikan kanser dalam kalangan masyarakat.


"Kanser ialah penyakit yang semakin meningkat di Malaysia, terutama melibatkan golongan kanak-kanak. Lebih 700 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun didiagnosis dengan penyakit itu setiap tahun atau secara puratanya dua kanak-kanak setiap hari.


"Namun dengan kemajuan rawatan sedia ada, peluang untuk pesakit kanak-kanak ini pulih, meningkat secara mendadak dengan lebih 70% telah sembuh. Jadi KKM akan mencari kaedah terbaik bagi memberikan rawatan kepada pesakit kanser kanak-kanak ini," katanya dipetik.


Lukanisman berkata begitu ketika merasmikan Program Karnival dan Kolokium National Childhood Cancer Alliance 2024 di Kuala Lumpur.


Karnival dan kolokium yang membawa tema “Ketahanan dan Keberanian: Membangun Kembali Kehidupan Pasca Kanser Kanak-Kanak” itu mengetengahkan perjalanan rawatan pesakit kanser kanak-kanak yang telah pulih, termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi mereka dan keluarga.


Kira-kira 200 pesakit kanser kanak-kanak turut menghadiri karnival itu bersama ibu bapa mereka.


Dalam ucapannya juga Lukanisman menyeru sektor korporat bekerjasama dengan KKM dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.


"Pesakit kanser kanak-kanak perlu diberikan perhatian seperti kanak-kanak biasa lain, baik dari segi kasih sayang dan pembelajaran. Diharapkan pejuang-pejuang kanser ini dapat menunjukkan kepada orang lain bahawa kanser bukanlah suatu pengakhiran.


"Kepada penjaga kanak-kanak ini, diharapkan mereka sentiasa bersemangat untuk memberikan perhatian dan masa untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak ini," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page