Satu proses penilaian risiko berkaitan situasi jangkitan Covid-19 bakal dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) pada pertengahan bulan Jun.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata penilaian itu bertujuan menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang akan berakhir pada 30 Jun, sebelum kerajaan menentukan hala tuju seterusnya melibatkan langkah perlindungan terkini mengenai Covid-19.
Hal itu selari dengan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memutuskan Covid 19 bukan lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global.
"Walaupun WHO mengumumkan wabak itu bukan lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, KKM masih perlu mengambil kira faktor yang berlaku secara lokal di negara ini.
"Kita nak tengok lagi perkembangan sebab ada lagi kes Covid-19 tetapi masih terkawal, segala pandangan (WHO) dan keadaan di negara ini pun kita kena lihat terlebih dahulu sebelum menerima pakai saranan WHO. Jadi, pertengahan Jun nanti kita akan buat penilaian," katanya.
Zaliha sebelum itu hadir pada Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Selatan di Hab Pendidikan Tinggi di Pagoh semalam.
Mengenai Kertas Putih Kesihatan, Dr Zaliha berkata ia akan menjadi permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan Malaysia ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing, selain mendapat sokongan seluruh masyarakat dan kerajaan.
Kertas Putih Kesihatan itu jelasnya akan dibentangkan di Parlimen pada bulan depan bagi mendapatkan sokongan dwipartisan ahli Parlimen sebelum langkah pelaksanaannya dapat dijalankan.
Comments