Kerajaan Negeri segera wartakan tanah lapang awam demi kepentingan rakyat


Semua Kerajaan Negeri digesa agar mempercepat proses pewartaan tanah lapang awam demi memastikan kawasan hijau yang diperuntukkan terus terpelihara dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
Gesaan itu disuarakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming selepas mendapati kawasan seluas 15,018.72 hektar atau bersamaan 64.47% masih belum diwartakan atau masih dalam proses pewartaan.
Keadaan itu ujarnya, memerlukan perhatian dan tindakan susulan kerajaan negeri bagi mempercepat proses berkenaan selaras dengan pembangunan lestari alam sekitar Malaysia MADANI.
"Tanah lapang awam bukan sekadar kawasan riadah dan rekreasi, malah merupakan aset penting yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
"Kawasan lapang ini juga berperanan menjadi zon hijau yg menyerap air larian permukaan bagi membantu mengurangkan risiko banjir kilat, selain menyediakan tapak rekreasi yang meningkatkan kualiti hidup masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Kor Ming berkata, sebanyak 23,297.15 hektar tanah lapang awam telah dikenal pasti di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan sehingga Disember 2025.
Namun pihaknya mendapati hanya 35.53% (8,278.44 hektar) yang telah diwartakan setakat ini.
Beliau menyifatkan, pewartaan amat penting bagi melindungi tanah lapang awam daripada pencerobohan, pertukaran guna tanah yang tidak bersesuaian serta masalah pengurusan dan penyelenggaraan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Sehubungan itu, kerajaan negeri diseru mempergiat usaha pewartaan selaras dengan peruntukan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara [Akta 828], memandangkan urusan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"KPKT menerusi PLANMalaysia akan terus memantau status pewartaan tanah lapang awam bersama pihak berkaitan bagi menyokong pembangunan bandar yang lebih mampan, berdaya huni dan mengutamakan kesejahteraan rakyat," ujarnya lagi.




Comments