top of page

ECRL pemangkin ekonomi rakyat Pahang, tambah peluang pekerjaan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
1 hour ago
2 min read

Pemberian diskaun 30% bagi tiket kelas ekonomi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang bulan pertama operasi disifatkan sebagai langkah positif untuk memastikan kemudahan pengangkutan moden itu dapat dinikmati rakyat pada kadar lebih berpatutan, selain berpotensi merancakkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan di Pahang.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, kehadiran ECRL di negeri berkenaan bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan perniagaan tempatan di samping membuka peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi sepanjang jajaran rel ini.


"Misalnya, KotaSAS dalam Parlimen Indera Mahkota merupakan antara kawasan yang berpotensi menikmati limpahan pembangunan ECRL.

Datuk Ahmad Farhan Fauzi
Datuk Ahmad Farhan Fauzi

"Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2027 mengenai pembangunan perumahan rakyat berhampiran stesen KotaSAS, turut membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat termasuk pertumbuhan perniagaan, penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kesejahteraan penduduk.


"Kesan gandaan ekonomi ini berpotensi memberi manfaat kepada peniaga kecil, kontraktor, pengusaha perkhidmatan dan golongan belia. Pembangunan juga perlu dirancang agar kemudahan pengangkutan, perumahan mampu milik dan peluang ekonomi dapat dinikmati secara meluas oleh rakyat," katanya menerusi satu kenyataan.


Ahmad Farhan menyifatkan, ECRL bukan sekadar projek pengangkutan, malah merupakan pemangkin pembangunan wilayah yang berupaya membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Pahang.


Beliau berkata, kejayaan projek itu harus diukur bukan sahaja melalui kemajuan infrastruktur tetapi juga melalui peningkatan kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat.


Untuk rekod, tambang perkhidmatan penumpang ECRL bagi perjalanan Gombak-Kota Bharu bermula RM125 sehala untuk kelas Ekonomi menerusi perkhidmatan Transit, menjelang operasi komersial yang disasarkan bermula 12 Disember depan.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerajaan meluluskan cadangan struktur tambang itu pada 16 Oktober lalu berdasarkan mekanisme tambang dinamik.


"Bagi laluan Gombak-Kota Bharu sejauh 523 kilometer, tambang perkhidmatan Ekspres bermula RM147 sehala, manakala tambang Transit bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu dan Gombak-KotaSAS masing-masing bermula RM95 dan RM60.


"Sementara itu, tambang Ekspres bagi laluan Gombak-Kuala Terengganu dan

Gombak-KotaSAS masing-masing bermula RM110 dan RM68," katanya.


ECRL akan menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis merangkumi enam perjalanan bagi setiap arah, manakala kekerapan meningkat kepada 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, bersamaan lapan perjalanan bagi setiap arah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page