Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan melaksana tindakan berterusan untuk menyekat kandungan mempengaruhi, menjejas serta merosakkan moral masyarakat di media sosial.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, usaha oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) itu turut membabitkan sekatan terhadap laman sesawang yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk mempromosi produk seks serta laman berunsur seks songsang.
Selain itu SKMM juga tegasnya turut menjalin kerjasama dengan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram dan TikTok dalam usaha menangani penyebaran kandungan lucah di media sosial.
"KKD komited dan memandang serius dalam membendung kes penyalahgunaan media sosial di pelbagai peranti yang boleh menyalahi undang-undang negara termasuklah kandungan atau iklan yang berunsurkan seks dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).
"Selain pemantauan terhadap sebarang tindakan atau kandungan yang bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), langkah membendung kes sebegitu juga disusuli dengan tindakan penurunan kandungan, penguatkuasaan dan pendakwaan," katanya dipetik.
Fahmi berkata begitu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Negara pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang dalam usaha mengenal pasti rakan digitalisasi tempatan bagi menyediakan khidmat sokongan serta konsultasi kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ia sebagai sebahagian usaha menyediakan akses kepada platform dan penyelesaian digital seperti yang diterap dalam pelaksanaan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) yang diperkenal kerajaan pada tahun ini.
"MDEC juga sedang berusaha menggalakkan rakan digitalisasi untuk menawarkan teknologi dan penyelesaian digital secara kaedah 'freemium' iaitu PMKS boleh mengguna pakai teknologi serta penyelesaian digital yang asas secara percuma.
"PMKS hanya perlu mengemukakan pembayaran apabila ingin menggunakan penyelesaian tersebut secara sepenuhnya," tambahnya.
Comments