KitaJaga: Kementerian Ekonomi komited perluas aplikasi pemantauan harga
- Redzuan Shamsudin
- Mar 31, 2023
- 1 min read

Kementerian Ekonomi yang membangunkan aplikasi berasaskan data bagi memantau harga barang keperluan pengguna KitaJaga sedang berusaha untuk memperkembangkan lagi potensi aplikasi berkenaan.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pemain-pemain e-dagang dalam negara bagi meluaskan potensi pemantauan harga serta memperkenalkan rakyat kepada proses perbandingan dan pemilihan berdasarkan data yang lengkap.
"Inisiatif seperti ini akan memberikan penanda aras untuk pembelian dan mendorong masyarakat untuk mengambil satu-satu keputusan berdasarkan data yang tersedia dan objektif (data-driven mindset).
"Sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini, Kementerian Ekonomi komited untuk memperkuat kebertanggungjawaban harga yang wajar dengan mengembangkan ekosistem data harga dari seluruh negeri dalam jangka pendek menerusi usaha seperti OpenDOSM," katanya dalam catatan terbaharu di Facebook.
Baru baru ini Rafizi menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu - PN di Dewan Rakyat mengenai perbezaan aplikasi KitaJaga dan PriceCatcher.
Kata beliau KitaJaga diambil datanya daripada PriceCatcher tetapi dipermudahkan untuk kegunaan orang awam dari pelbagai peringkat usia.
Katanya dalam catatan sebelum ini, aplikasi KitaJaga yang diusahakan Kementerian Ekonomi tersebut membolehkan rakyat menyemak harga barangan harian di kawasan tertentu menerusi aplikasi penyemakan harga yang kompresensif.
"Aplikasi terbabit dibangunkan dengan kerjasama organisasi KitaJaga, menggunakan data terbuka di laman web OpenDOSM.
"Konsep asas menerusi inisiatif ini bagi membolehkan rakyat membeli dengan bijak menerusi perbandingan harga menggunakan telefon bimbit serta boleh digunakan secara meluas.
"Selain itu kita juga ingin menggalakkan seberapa banyak platform untuk menggunakan data ini bagi ciri perbandingan harga mereka," katanya.
Aplikasi KitaJaga boleh dimuat turun di app store atau google playstore. Atau layari laman web https://kitajaga.co/harga bagi menyemak harga barang runcit mengikut lokaliti.
Comments