Pemilihan KEADILAN 2022 yang semakin hangat menuntut anggota parti memikirkan siapakah calon yang paling sesuai untuk menerajui kepimpinan.
Bagi Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Ravi Munusamy, kepimpinan yang terbaik adalah yang lantang dan tegas dalam menjaga parti serta berani menyuarakan hal hal dalaman untuk diperbaiki.
Beliau berkata, kepimpinan juga hendaklah memastikan hubungan KEADILAN dan parti parti komponen lain dalam Pakatan Harapan sentiasa stabil dan mantap.
"Kita nampak ada yang garang, ada yang lembut sangat. Namun yang penting kita nak pastikan orang yang jaga parti secara aman dan bukan keras. Tak perlu maki orang.
"Kita ada komponen DAP dan Amanah. Tak perlulah kita selalu marah mereka. Tanpa mereka saya rasa macam Negeri Sembilan pun kita tak boleh tadbir. Kita nak sepakat, jadi keluarga besar. Kita perlu khemah.
"Ada pemimpin kata tak perlu, kalau tak perlu khemah kita bukan kuat sangat. Saya rasa kalau parti nak gabung (cari sekutu) saya alu alukan. Seperti Warisan kah, mana mana nak joint, kita mesti pakat untuk dapat kekuatan yang betul betul mantap.
"Kalau parti lain mahu muafakat saya rasa itu bagus," katanya dalam forum maya "Jangan Panas Bersama Sam" yang dimoderatorkan Ketua Penerangan KEADILAN pusat oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, baru baru ini.
Ditanya mengapa pemilihan kali ini kelihatan agak 'panas' Ravi menjelaskan suhu meningkat kerana KEADILAN telah memerintah di beberapa negeri.
Beliau yang terlibat sejak era reformasi 1998 mengimbau pemilihan ketika parti tidak mempunyai negeri. Katanya, ketika itu amat sukar untuk memilih calon pemimpin kerana sedikit sekali yang mahu menawarkan diri.
"Macam 1999, 2004, 2008 masa itu kita belum menang. Jadi calon pun susuah. Sekarang tak perlu cari. Cakap calon sahaja berpuluh puluh. Sepatutnya kita kena duduk dan bincang. Naikkan beberapa orang yang boleh bantu parti. Bukan kita hanya nak pegang jawatan tetapi tak boleh sumbang kepada rakyat Malaysia, " katanya.
Ravi menasihatkan calon calon yang bertanding kali ini agar berpada pada dalam berkempen serta jangan lupa Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin dekat.
Katanya, persediaan untuk menghadapi PRU lebih penting difokuskan berbanding kempen parti.
"Saya difahamkan beberapa Ahli Parlimen mereka ada jawatan besar dalam parti tetapi mereka hanya jaga kawasan mereka sahaja.
"Saya rasa itu tak betul. Kalau kamu nak pegang jawatan besar dalam parti kena turun padang hadapi PRU akan datang. Kita tak bersedia, saat akhir baru nak cari calon, sediakan jentera. Saya rasa itu tak betul.
"Saya di DUN Seri Tanjung kalau esok bubar, 20 hari sedia hadapi PRU, kita sedia. Kita telah buat Pacaba semua dan kita perlu refresh sahaja.
"Bukan kata saya pandai sangat tetapi kita kena sedia," katanya lagi.
Menyentuh ke manakah sokongan beliau di antara dua calon timbalan presiden, Ravi berkata belum membuat keputusan.
Bagaimanapun beliau menyatakan sokongan terbuka kepada Shamsul Iskandar untuk jawatan naib presiden.
"Kawan karib saya ini masa beliau pegang jawatan Ketua AMK gerakan beliau memang bermakna.
"Kali ini saya difahamkan beliau tanding naib presiden dan saya sokong. Saya mahu orang yang berani untuk lawan dengan Umno, bukan lawan kita sendiri.
"Beliau ada wibawa. Cuma kali ini tetapi nombornya 17, banyak jauh. Tetapi itu nombor sahaja," katanya.
Selain itu, Ravi juga mengadu masalah mendaftarkan pengundi atas talian melalui aplikasi ADIL.
Kata beliau, di Negeri Sembilan internet di sesetengah kawasan amat lemah dan terpaksa membawa anggota parti ke restoran atau kafe siber untuk mendaftarkan mereka.
Dalam pemilihan kali ini Ravi berhadapan persaingan 4 penjuru mempertahankan jawatan Ketua Cabang Port Dickson.
Calon yang berada di cabang Port Dickson sejak 1999 itu berhadapan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan 2 calon lain
Comments