'Kita buat perubahan PRU 2018, kita boleh buat sekali lagi' - Syahredzan Johan
- Redzuan Shamsudin
- Aug 26, 2022
- 2 min read

Rakyat yang sayangkan negara mesti mahukan Malaysia menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Menurut pemimpin Melayu DAP, Syahredzan Johan, rakyat prihatin pasti teruja ketika ini melihat kedaulatan undang undang telah berlaku dengan hukuman ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Namun, katanya, hal itu tidak boleh terhenti di situ sahaja. Skandal kapal Tentera Laut Diraja Malaysia yang menelan belanja RM6 bilion setakat ini juga perlu dibongkar dan pemimpin politik di belakangnya harus menghadapi akibat yang sama.
"Buat pertama kali dalam sejarah negara kita, seorang mantan PM dijatuhi hukuman dan kena masuk penjara.
"Ini menunjukkan Malaysia negara hukum. Tidak ada sesiapa lebih tinggi daripada undang undang. Tugas kita belum selesai. Ini kes SRC, 1MDB belum selesai. Kita hadapi skandal besar RM6 bilion dah dibayar tetapi satu kapal tak siap.
"Mereka bawa (wartawan) tengok kapal, bukan halimunan, tetapi betulkah itu kapal atau bangkai kapal? Baru 60% siap, patutnya 2019 sudah siap tetapi LCS pertama baru siap 60%.
"Menteri Pertahanan pun tidak dapat beri jaminan boleh siap. Dia kata setahun atau dua tahun. Sekarang kita lihat seorang kena dakwa. Skandal RM6 bilion seorang sahaja kah?
"Dan kalau tengok pertuduhan itu, (penyelewengan) sebelum kontrak bina kapal ditandatangani. Betulkah kes dah selesai, tidak.
"Kita kalau nak Malaysia lebih baik kena jelas apa yang kita mahu. Kita mahu negara tanpa korupsi, bebas rasuah, kita mahu mereka yang zalim tidak mendekati Putrajaya. Kita perlu sama sama bangkit, bukan kita tak pernah buat," katanya dalam ceramah Jelajah Tolak BN PN di Parlimen Bangi, malam tadi.
Bagi pegawai Khas Ahli Parlimen Bangi itu, pada Pilihan Raya Umum ke 15 kali ini rakyat perlu sekali lagi memastikan Pakatan Harapan mentadbir Putrajaya bagi meneruskan perubahan yang telah berlaku sejak 2018 lalu.
Beliau berkata, momentum telah menunjukkan riaknya. Sebagaimana beliau pernah ke Pahang, berceramah di Janda Baik menjelang PRU 14 lalu dan hadirinnya penuh orang Melayu, beliau mengharapkan perubahan sekali lagi pada PRU 15.
"Betul, kita lihat perubahan tahun 2018. Kita pernah buat sekali dan kita boleh buat sekali lagi. Tidak mudah. Ianya satu cabaran. Tetapi kita kena selamatkan Malaysia daripada mereka yang zalim, yang bobrok.
"Saya nak malam ini satu permulaan di Bangi untuk memastikan sekali lagi PH berada di Putrajaya," katanya.
Comentários