top of page

Khianat bahan kempen: PH harap SPR, polis kerap pantau

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 8 hours ago
  • 2 min read
Khianat bahan kempen tidak wajar berlaku dalam negara demokrasi bertamadun
Khianat bahan kempen tidak wajar berlaku dalam negara demokrasi bertamadun

Bilik Gerakan Utama HARAPAN masih menerima laporan perbuatan khianat yang berlaku pada bahan-bahan kempen gabungan parti itu ketika kempen memasuki fasa pertama dengan pelancaran manifestonya malam tadi.


Pengarahnya Dr Fuziah Salleh (gambar) dan Muhammad Faiz Fadzil dalam kenyataan bersama berkata mereka berharap pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat melakukan pemantauan lebih kerap.


"Aduan yang diterima daripada jentera di Labu, Sungai Lui dan Palong akan dilaporkan kepada pihak berkuasa.


"HARAPAN menyeru semua penyokong agar mengelakkan diri daripada terlibat dalam sebarang provokasi," kata kenyataan itu hari ini.


Kenyataan itu berkata HARAPAN turut menzahirkan rasa prihatin dan simpati terhadap insiden melibatkan keselamatan jalan raya yang telah meragut nyawa seorang petugas jentera pilihanraya.


Katanya orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian diharap dapat menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.


"Biarpun mangsa bukan anggota jentera HARAPAN, kami tetap ingin mengingatkan para petugas untuk sentiasa mengambil langkah keselamatan tambahan bagi menghindari dari sebarang kecelakaan ketika menjalankan tugas. Selamat berkempen untuk semua," katanya.


Terdahulu kenyataan itu berkata HARAPAN Negeri Sembilan telah membentangkan manifesto Kekal Harapan Negeri Sembilan semalam dengan membawa idea besar iaitu meletakkan Negeri Sembilan sebagai ‘Central Corridor' atau Pusat Koridor Pembangunan Harapan Malaysia.


Secara ideal, katanya konsep itu akan membina kefahaman bahawa Negeri Sembilan bukan lagi sekadar negeri yang berada di antara Kuala Lumpur dan Melaka, tetapi sebuah pusat pertumbuhan baharu yang menghubungkan teknologi, logistik, industri dan modal insan.


Perancangan itu turut disokong projek yang berimpak tinggi seperti Malaysia Vision Valley 2.0, NS Semiconductor Valley dan Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City, ujar kenyataan itu lagi.


"Inilah mesej yang cuba dibina dengan cukup jelas oleh Datuk Seri Utama Haji Aminuddin Harun iaitu Negeri Sembilan mahu mencipta lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi supaya anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke negeri lain," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page