top of page

Khairy dibidas main isu kaum, demokrasi tidak ancam hak Melayu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 hours ago
  • 2 min read
RIBUAN anggota dan penyokong Pakatan Harapan hadir pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Seremban, 12 Jun 2026.
RIBUAN anggota dan penyokong Pakatan Harapan hadir pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Seremban, 12 Jun 2026.

Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin diingatkan agar tidak menghina kebijaksanaan orang Melayu apabila cuba memberi gambaran hak masyarakat pribumi itu terancam sekiranya kuasa politik berubah di Negeri Sembilan.


Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Reformasi Madani Malaysia (PRMM), Madon Mislan berkata naratif sedemikian hanya mengulangi politik berasaskan ketakutan sedangkan hak orang Melayu dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu.


"Kenyataan seperti itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menghina kebijaksanaan orang Melayu yang semakin matang dalam membuat pilihan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.


"Hak orang Melayu bukan milik UMNO, bukan milik mana-mana parti politik dan bukan lesen untuk menakut-nakutkan rakyat. Hak tersebut dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan dipelihara oleh institusi Raja-Raja Melayu."


MADON MISLAN
MADON MISLAN

Madon berkata sudah tiba masanya masyarakat Melayu tidak lagi dijadikan "tebusan politik" melalui naratif bahawa hak mereka akan terhapus setiap kali berlaku perubahan kerajaan.


"Sampai bila rakyat mahu disogok dengan cerita bahawa setiap kali pilihan raya berlangsung, kononnya Melayu akan hilang kuasa, hilang hak dan hilang masa depan?" katanya yang merupakan Ketua Biro Pendidikan dan Latihan Pendemokrasian PRMM.


Menurut beliau, cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat Melayu ketika ini ialah isu rasuah, salah guna kuasa, ketirisan, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kelemahan ekonomi, bukannya pertukaran kerajaan.


Beliau turut mendakwa rakyat Negeri Sembilan semakin matang dalam menilai pemimpin berdasarkan prestasi, bukannya retorik politik berasaskan ketakutan.


"Orang Melayu tidak memerlukan politik ketakutan. Orang Melayu memerlukan kepimpinan yang jujur, bersih, berwibawa dan mampu membawa masa depan yang lebih baik untuk semua," katanya.


Dalam hal ini beliau menegaskan, jika benar Khairy mahu mempertahankan orang Melayu, beliau perlu berbahas mengenai dasar dengan membentangkan penyelesaian terhadap isu ekonomi, pendidikan, perumahan dan peluang pekerjaan.


"Jangan menjadikan sentimen kaum sebagai jalan pintas untuk meraih sokongan politik," bidasnya.


"Sudah tiba masanya semua pihak, termasuk Khairy berhenti memainkan sentimen bahawa Melayu akan hilang hak setiap kali rakyat membuat pilihan yang berbeza."


Katanya demokrasi tidak pernah menghapuskan hak orang Melayu sebaliknya ia memberi hak kepada rakyat untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya muncul ketika musim pilihan raya dengan cerita-cerita yang sama.


Semalam, Khairy yang baru sahaja terima semula sebagai ahli UMNO ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Seremban menggesa pengundi Melayu-Islam kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan.


Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mendakwa kepentingan dan hak orang Melayu di Negeri Sembilan akan lebih terancam sekiranya UMNO tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.


Khairy turut berhujah komposisi wakil rakyat Melayu dalam kerajaan negeri akan menjadi semakin kecil tanpa penyertaan UMNO-BN sekali gus menjejaskan kekuatan suara orang Melayu dalam pentadbiran negeri.


PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan, dengan kempen dijangka menyaksikan persaingan sengit antara gabungan kerajaan perpaduan dan pembangkang.


BN yang sebelum ini berada dalam kerajaan mengambil keputusan bertanding solo setelah wakil rakyatnya sebelum ini menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page