Khairy belum lulus ujian, PH cadang 10 KPI strategi lawan Covid 19



Biar pun Menteri Datuk Seri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini dipuji oleh pesaing politiknya termasuk dari DAP, namun Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan beliau mesti memenuhi 10 Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi mengukur kejayaannya melawan pandemik Covid 19.


Menurut kenyataan jawatankuasa tersebut, Khairy perlu lulus KPI itu melalui strategi Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong (FTTIS) dan vaksinasi (V) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dalam menguruskan kes-kes kematian, kapasiti hospital dan sebagainya.


"Parameter-parameter yang dicadangakan ini adalah matriks yang boleh dikira dan digunapakai untuk menilai Prestasi Kementerian Kesihatan pada bulan-bulan yang akan datang dalam mengurus pandemik Covid-19


"Parameter bermula dengan Cari, iaitu integrasi teknologi dan penambahbaikan keberkesanan sistem pengesan automatik, seperti sistem HIDE sekarang yang digunakan untuk meramal kawasan panas, sekurang-kurangnya 14 hari ke hadapan.


"Uji, strategi Pengujian Kebangsaan dalam memastikan kadar ujian kebangsaan berada di bawah 5% melalui penambahgunaan RTK Ag dalam komuniti. Pihak Kementerian haruslah meluaskan sasaran dengan kadar 250 ribu ujian sehari sehingga kadar yang bergejala positif dapat diturunkan di seluruh negara


"Kesan, menambahbaikan kapasiti kontak kesan digital MySejahtera agar dapat mengesan sekurang-kurangnya 80% kontak rapat dalam masa 24 jam. Pencapaian ini dapat mengurangkan “kes-kes sporadik” di dalam komuniti secara ketara.


"Asing, mengurangkan masa pengasingan dan kemasukan kepada kurang dari 24 jam dari waktu dikesan. Ini termasuk menyediakan mekanisme untuk pengasingan ataupun pantas mengeluarkan “Arahan Pengawasan di Rumah” secara digital kepada profile pengguna MySejahtera dalam masa 24 jam selepas dikesan.


"Sokong, kerajaan harus membekalkan “Kit Penjagaan Kendiri” termasuk oximeter, thermometer dan kit ujian sendiri terutamanya bagi komuniti B40 dan M40. Sokongan fiskal untuk golongan B40 dan komuniti pendapatan rendah yang berada dalam kuarantin juga digalakkan. Ini termasuk juga penggabungan Gabungan Nasional Kesihatan Mental dengan komuniti yang paling rapat dengan Sokongan Sosial Psaikologi dan Kesihatan Mental (MHPSS)," kata kenyataan tersebut hari ini.


Selain itu, Jawatankuasa Kesihatan PH juga menyarankan agar kadar jangkitan yang boleh diterima ialah bawah 55 per 100 ribu dan menambah kajian genomik kepada lebih dari 2% supaya dapat mengawalselia perubahan virus kepada varian-varian baru. Dengan cara ini kerajaan dapat memahami bagaimana ianya memberi impak terhadap kesihatan dan komuniti.


"Kerajaan perlu mengurangkan Kadar Kematian (CFR) dari sekitar 0.94% kepada 0.5% dan mengurangkan jumlah Dibawa Masuk Mati (BID) dari 22% kini sehingga kurang dari 10%.


"Mencapai Penghunian Katil Hospital kepada bawah 70% dan katil ICU Covid-19 kepada bawah 50% di seluruh negara serta servis kesihatan tanpa gangguan untuk kes-kes Covid-19.


"Liputan vaksinasi lengkap sebanyak 80% di seluruh negara dan pelan dos penggalak untuk individu berisiko tinggi termasuk petugas kesihatan, barisan hadapan dan pesakit berkomorbiditi.


"Ketelusan dan sumber terbuka yang lebih baik untuk data granular Covid-19 melalui GitHub bagi sesuatu daerah atau mukim. Ini termasuk juga kerjasama yang lebih baik dengan Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan dalam pengurusan Covid-19," kata kenyataan itu lagi.


Menurut jawatankuasa berkenaan, dalam masa 100 hari akan datang, 10 asas KPI itu akan menentukan penanda aras dalam menangani Covid-19.


"Ia bukan sahaja akan memperluaskan liputan vaksin, tetapi akan mengawal virus dari merebak dan menyah keluar sebarang kluster tersembunyi di dalam sesebuah komuniti.


"Barulah strategi endemik jangka panjang boleh diwujudkan setelah asas kesihatan awam dipatuhi dan kapasiti penjagaan kesihatan diperkuatkan," kata mereka lagi.


Jawatabkuasa kesihatan PH juga berpendapat strategi tersebut boleh dicapai secara kerjasama yang lebih kukuh dan terbuka dengan semua pihak terbabit di dalam sektor swasta, akademik, NGO dan juga pihak pembangkang.


Jawatankuasa itu berharap lantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang baru akan memberi pencetus yang bertindak sebagai “RESET” dalam pengurusan Covid-19 negara secara “Pendekatan Penggemblengan Nasional”, termasuk dalam menangani isu-isu yang rumit dan aspek-aspek yang pelbagai dalam sistem kesihatan Malaysia, sama ada berjangka masa pendek atau panjang.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER