Tindakan penyampai (DJ) radio Khary Jamaluddin yang mempersenda dengan meniru gaya ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengendalikan siaran radio HotFM dikira tidak wajar dilakukan sebagai seseorang yang menjadi ikutan masyarakat.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Terengganu, Amira Alias berkata, tingkah laku Khairy tersebut menyebabkan stesen radio berkenaan dipersoal netizen, apatah lagi ungkapan itu dibuat dipercayai mengulas pencalonan beliau sebagai Penyampai Radio Popular yang tiada kena mengena dengan kerjaya politik yang diceburinya pada masa lalu.
"Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Terengganu mengecam tindakan DJ HotFM yang juga merupakan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di atas kenyataan beliau ketika mengacarakan program HotFM baru baru ini.
"MPN mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya menjalankan siasatan terbuka terhadap HotFM. MPN Terengganu berpandangan tindakan Khairy itu melanggar tatasusila dan adab orang Melayu terhadap pemimpin.
"Ini sesuatu yang tidak wajar. Lebih lebih lagi beliau merupakan bekas menteri dan lebih maklum adab dengan pemimpin negara," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Amira berharap tiada lagi insiden sedemikian melibatkan penyampai radio lain di negara ini.
Katanya, sebagai seseorang yang boleh mempengaruhi masyarakat, penyampai radio seharusnya mengamalkan kesopanan serta tidak semberono dalam menuturkan kata kata.
"Saya menggesa rakyat agar kembali kepada konsep Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan, di mana rakyat seharusnya menjaga adab sesama pemimpin dan sesama warga masyarakat," katanya lagi.
Untuk rekod, Khairy kelmarin mengajuk ungkapan Anwar dengan berkata: "Hari ini saya menang... esok .. kita makan ramai ramai ..."
Ungkapan itu dipercayai mengulang ucapan Anwar ketika berkempen menjelang Pilihan Raya Umum 2013, sekiranya Pakatan Rakyat menang maka kerajaan akan menurunkan harga minyak.
Pembangkang pada waktu ini menggunakan ungkapan tersebut di luar konteks apabila mahu harga minyak diturunkan, sedangkan janji itu telah berlalu lebih sedekad dan harga minyak dunia telah naik dua kali ganda dalam tempoh berkenaan.
Kj bahan buangan umno , ape de hal