top of page

Keutamaan bangunkan bakat berkemahiran tinggi - Lih Kang

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
1 min read
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang

Kemajuan teknologi automasi canggih dan pengelektrikan kompleks menuntut kesediaan jurutera, juruteknik, serta bakat muda yang dilengkapi kemahiran praktikal beraras tinggi.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata kepesatan pelaburan teknologi dan digital menuntut supaya pembangunan modal insan tempatan berkemahiran tinggi turut diberi keutamaan.

"Apabila industri merangkul digitalisasi, automasi canggih dan pengelektrikan kompleks, permintaan terhadap bakat berkemahiran terus meningkat.


"Tanpa melengkapi jurutera, juruteknik dan bakat muda TVET kita dengan kemahiran praktikal yang relevan dengan industri, kita berisiko meninggalkan tenaga kerja kita di belakang ketika teknologi berkembang pesat," katanya dipetik laporan media.


Lih Kang berkata begitu ketika merasmikan Pusat Latihan Regional Schneider Electric di Petaling Jaya pada Selasa.


Sementara itu menurutnya, Malaysia berada di landasan kukuh sebagai tulang belakang digital rantau Asia-Pasifik apabila merekodkan lebih RM200 bilion pelaburan diluluskan setakat separuh pertama 2026.


Jumlah tersebut merangkumi RM95 bilion pelaburan dalam infrastruktur pusat data dan perkhidmatan awan.


"Sehubungan itu, MOSTI terus komited merapatkan jurang antara pendidikan akademik dan kesediaan industri menerusi inisiatif Foresight Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta kerangka kerja kemahiran kebangsaan.


"Usaha itu turut diperkasakan menerusi Platform Kotak Pasir Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS), Pelan Tindakan KL20, dan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER 2.0) bagi membolehkan inovator tempatan menguji teknologi baharu sekali gus menggalakkan komersialisasi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," jelasnya.


Dalam pada itu, Lih Kang turut menggalakkan lebih banyak kerjasama rapat antara kerajaan dan pihak industri.


Langkah itu bagi melahirkan bakat tempatan yang mampu mencipta, mengendali, dan memimpin teknologi termaju di peringkat serantau mahupun global.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page