top of page

Ketua Polis Negara tidak pernah jadi anggota, pimpinan KEADILAN Kedah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 21
  • 2 min read

ree

Profil salah berkenaan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail kononnya pernah menjadi pimpinan KEADILAN Kedah yang disiarkan oleh media Sinar Harian terus dibantah.


Pimpinan KEADILAN Kedah, Nurin Aina Abdullah@Nor Azrina Surip (gambar) hari ini berkata, kesilapan yang dilakukan oleh media tersebut bukan sahaja mengundang fitnah tapi persepsi umum yang sangat negatif terutama terhadap Kerajaan Madani yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Saya benar-benar terkilan dengan pihak Sinar Harian yang telah memaparkan profil yang salah terkait Ketua Polis Negara yang baru dilantik iaitu Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di bawah kapsyen 'Anugerah', telah dinyatakan pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat dan juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah.


"Hakikat dan fakta sebenar beliau tidak pernah pun menjadi anggota parti KEADILAN maka mana mungkin beliau boleh menjawat jawatan tersebut.


"Ini adalah kesalahan fakta yang sangat besar. Sinar Harian seolah olah tidak melakukan tabayyun iaitu proses semakan atau meneliti dahulu kebenaran fakta bagi mengelakkan prasangka berlaku fitnah.


"Ini telah memberi peluang kepada pihak yang mahu menangguk di air keruh untuk mempersendakan kerajaaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Nurin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN berkata, meskipun Sinar telah membuat kenyataan Ralat di atas siaran berkenaan namun ianya tidak mampu menghapus kesalahan tersebut dengan mudah dan sewajarnya dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran dan pendidikan buat semua wartawan.


Justeru beliau mengajak semua media, khususnya pihak Sinar Harian untuk kembali merujuk 8 perkara dalam Kod Etika Wartawan Malaysia yang telah dilancarkan tahun lepas oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 20 Februari 2024.


Kod etika itu menyebut bahawa Wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; Wartawan hendaklah telus dan berintegriti; Wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi; Pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; Kesahihan dan ketetapan maklumat; Wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber; Wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka serta; dan Wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.


"Jadikan Kod Etika ini sebagai panduan kerana ia tidak membatasi kebebasan media atau menghambat kebebasan berekspresi.


"Ianya jelas menunjukkan pentingnya mengangkat profesionalisme editorial media sebagai penyampai kebenaran dan menghindari konflik kepentingan dalam menyajikan informasi yang sahih dan benar dalam liputan tanpa campur tangan," katanya yang juga mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah.


Untuk rekod, berlaku kesilapan dalam profil Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di Instagram Sinar Harian yang memaparkan Khalid pernah menjadi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dan juga pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah.


Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh hari ini menafikan hal itu dan menyatakan rasa kesalnya terhadap laporan di media sosial berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page