Ketua pemuda Pas Selangor tidak faham prinsip pengasingan kuasa
- Suara Keadilan
- Jul 7
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar disaran memahami prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif dan legislatif sebelum membuat kenyataan berkaitan pentadbiran negeri.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata gesaan Mohamed Sukri supaya Menteri Besar menerima usul tergempar Ketua Pembangkang berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights jelas menunjukkan kekeliruan terhadap kedudukan sebenar kuasa dalam sistem pentadbiran.
"Kuasa menerima usul untuk dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor adalah hak serta prerogatif YB Speaker. Maka tidak wajar mendesak Menteri Besar supaya menerima usul tersebut. Hak ini perlu dihormati," katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin turut membidas kenyataan Mohamed Sukri yang mendakwa Kerajaan Negeri memperlakukan Ahli Dewan Negeri (ADN) seperti “budak sekolah” kerana mahu mengadakan taklimat mengenai insiden tersebut.
Beliau menegaskan dakwaan itu cetek dan tidak berasas kerana taklimat kepada wakil rakyat adalah amalan biasa dalam memastikan prinsip keterbukaan dan akauntabiliti terus dipelihara.
"Tindakan Kerajaan Negeri menganjurkan taklimat kepada ADN adalah lumrah dalam sebuah pentadbiran yang telus. Malah ketika pentadbiran Perikatan Nasional pada 2021, taklimat program vaksin turut diberikan kepada semua Ahli Parlimen.
"Apakah waktu itu Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mahu dianggap memperlakukan Ahli Parlimen seperti budak-budak?” soalnya.
Sehubungan itu, Saifuddin menyeru Pas Selangor supaya tidak mempolitikkan isu bencana tersebut, sebaliknya memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk memberi penerangan kepada semua pihak berkepentingan.
"Fokus kita adalah keselamatan rakyat. Biarlah proses ini berjalan dengan baik tanpa diganggu retorik politik yang tidak membantu," tambahnya.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri mengadakan taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen dan ADN Selangor hari ini berhubung perkembangan siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Taklimat tersebut akan disampaikan oleh jawatankuasa siasatan teknikal yang terdiri daripada polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan agensi berkaitan.
Terdahulu, Menteri Besar juga telah memohon kepada Speaker Dewan Negeri Selangor supaya memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk membentangkan penerangan rasmi mengenai insiden itu pada persidangan DUN akan datang.
Comments