Ketua Cabang cabang KEADILAN Sarawak mahu Saifuddin timb presiden
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ketua-Ketua Cabang KEADILAN Sarawak hari ini menzahirkan sokongan terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai calon Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, sejarah membuktikan Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri adalah antara pemimpin yang menyumbang banyak jasa kepada KEADILAN dan merupakan pemimpin yang taat kepada parti serta Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Majoriti Ketua Cabang di Sarawak menyokong Saifuddin masuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini.
"Beliau harus diberi peluang untuk jawatan tersebut bagi membantu Presiden memperkuatkan parti dan meneruskan agenda reformasi," kata mereka dalam kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Cabang Mukah, Mohd Arwin Lim Abdullah; Ketua Cabang Sibuti, Louis Anak Jampi; Ketua Cabang Lubuk Antu, Tet Anak Tugang; Ketua Cabang Batang Sadong, Bahrudin Shah Ibrahim dan Ketua Cabang Puncak Borneo, Chee Phin Khoo.
Sokongan sama turut dinyatakan oleh Ketua Cabang Kota Samarahan, Nazirol Samaail; Ketua Cabang Selangau, James Jalai Anak Gayau; Ketua Cabang Bandar Kuching, Ng Kim Ho; Ketua Cabang Lanang, Micheal Lee dan Timbalan Setiausaha Agung, Tay Wei Wei.
Mereka menyifatkan, pemilihan dalaman KEADILAN seharusnya dijalankan dengan demokrasi, adil dan saksama.
"Kami memohon agar Datuk Seri Saifuddin memenuhi hasrat kami untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden kali ini," katanya lagi.