
KEADILAN Cabang Wangsa Maju kelmarin telah mengadakan majlis yang cukup bermakna buat dua tokoh besar negara.
Pertama majlis kesyukuran pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10 dan waktu yang sama memberi penghormatan kepada pejuang kemerdekaan serta tokoh Reformasi Allahyarham Cikgu Ishak Surin.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai (gambar, berbaju biru), majlis yang khusus mengumpul pemimpin KEADILAN, Pakatan Harapan serta ketua-ketua kampung dan Ahli Parlimen Wangsa Maju itu diadakan di kampung Puah bagi memperingati tapak perjuangan Cikgu Ishak sebagai akvitis politik dan sosial.
"Saya memilih tapak Pusat Mengaji Haji Ishak Surin di Kampung Puah ini sebagai lokasi majlis kerana tempat ini membawa nama seorang tokoh yang disanjungi ramai.
"Almarhum cikgu meninggal dunia pada 24 November 2022 pada umur hampir mencecah 90 tahun, di hari yang sama Datuk Seri Anwar dinobatkan sebagai Perdana Menteri.
"Saya menyifatkan Hj Ishak Surin sebagai tunggak masyarakat Jalan Gombak. Sememangnya, hasrat beliau adalah melihat Datuk Seri menjadi Perdana Menteri.
"Dalam perjuangan politiknya yang bermula dari zaman penjajahan British, jasa beliau dalam arus politik kebangsaan sememangnya melayakkan beliau diangkat sebagai 'cikgu politik' kepada semua," katanya.

Menurut Andre Lai lagi, Anwar pernah melawat Cikgu Ishak ketika keuzurannya pada tahun lalu.
Dalam pada itu, kesempatan tersebut juga digunakan oleh beliau untuk mengumumkan sumbangan kepada Kampung Puah Seberang bagi mendirikan gelanggang serbaguna untuk kegunaan penduduk kampung berkenaan.
Ketika ditemui media selepas majlis, Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan itu turut mengulas mengenai situasi politik semasa yang mencabar pasca Pilihan Raya Umum ke 15 dan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
"Saya bukan orang luar, kini masuk penggal ke 2 sebagai Ketua Cabang. Dalam landskap politik Kerajaan Perpaduan saya amat lega mendapat sokongan daripada semua untuk dapat terus berkhidmat.

"Saya harus mengingatkan, struktur pimpinan parti sentiasa mendahului semua jawatan dan telah menjadi tugasan saya untuk menyerlahkan imej parti di kalangan penduduk setempat. Para Menteri, Setiausaha Politik, Ketua Jabatan dan wakil-wakil rakyat harus peka dalam hubungan profesional dengan cabang demi kemakmuran parti pada jangka masa panjang," katanya.
Antara pemimpin tempatan yang hadir dalam majlis berkenaan ialah Datuk Sabtu Awab (Ketua Kawasan Amanah Wangsa Maju), Pak Hasan Jauma (Ketua Kampung Puah Seberang), Khalid Mohd (Ketua Kampung Puah), Shaharudin Mahmud (YDP Madrasah Tabiah), dan Khairul Bahri Ishak, pengerusi PEWARGA yang juga merupakan anak kesayangan Cikgu Ishak Surin.