top of page

KESUMA gerak intervensi bantu pekerja kilang Panasonic

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 5 hours ago
  • 1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan memastikan kebajikan serta kelangsungan kerjaya 541 pekerja Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. yang terjejas susulan penutupan operasi syarikat itu.


KESUMA menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), akan menggerakkan intervensi bersepadu bagi membantu mendapatkan sokongan pendapatan dan peluang pekerjaan baharu kepada pekerja terbabit sepanjang tempoh peralihan.

"KESUMA akan memastikan pekerja yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan diberikan sokongan sewajarnya dan tidak dibiarkan berdepan tempoh peralihan ini tanpa bantuan.


"Intervensi awal melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan digerakkan bagi mendapatkan maklumat pekerja bagi tujuan pemprofilan, penilaian keperluan dan pelaksanaan intervensi bersasar.


"PERKESO bersama JTKSM juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Panasonic pada 11 Ogos 2026 bagi menyelaras tindakan berkaitan perlindungan pekerja, kelayakan faedah dan intervensi penempatan pekerjaan," kata kenyataan itu.


Dalam kenyataan sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan (gambar) berkata, pihaknya menyediakan khidmat nasihat dan bantuan permohonan faedah SIP kepada pekerja yang memenuhi syarat kelayakan sebagai sokongan pendapatan sementara sepanjang tempoh peralihan pekerjaan.


Pekerja terjejas juga akan diberikan kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan menerusi MYFutureJobs, selain sesi temu duga dan program penempatan secara bersasar bersama majikan yang mempunyai kekosongan bersesuaian.


"Bagi pekerja yang memerlukan penyesuaian kemahiran, intervensi latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) akan dikenal pasti berdasarkan keperluan dan kesesuaian pekerja,.


"KESUMA juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan kepada pekerja terjejas dapat dilaksanakan secara terkoordinasi," katanya.


Panasonic sebelum ini dilapor menghentikan operasi fasilitinya di Shah Alam sebagai sebahagian langkah penstrukturan semula global bagi memperkukuh daya saing perniagaan produk audio visual untuk pengguna.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page