top of page

KESUMA ambil langkah intervensi bantu pekerja kilang CJ Bio

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
43 minutes ago
1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sudah melaksana langkah intervensi awal bagi membantu pekerja kilang CJ Bio Malaysia yang akan menamatkan operasi secara berperingkat bermula Khamis depan.


Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kesan penamatan operasi syarikat berpengkalan di Terengganu itu terhadap pekerja serta keluarga mereka.


"Sehubungan itu, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memberi tumpuan kepada pematuhan majikan berhubung penamatan perkhidmatan termasuk pembayaran gaji dan faedah penamatan.


"Pada masa yang sama,Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan sesi pemprofilan, penerangan mengenai faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), bantuan urusan permohonan faedah serta pendaftaran portal MYFutureJobs," menurut kenyataan tersebut.


Syarikat yang menghasilkan produk rumusan makanan haiwan ternakan sejak 2014 itu terpaksa ditamatkan berikutan keputusan pengurusan di Korea Selatan dan tekanan persaingan produk, termasuk baja dan makanan ternakan daripada China.


Sementara itu menurut KESUMA, langkah intervensi turut menyaksikan sebahagian pekerja terkesan bakal ditempatkan semula di CHEC Construction hasil penganjuran Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Politeknik Dungun.


Selain CHEC Construction, tiga syarikat tempatan turut sudah menyatakan kesediaan untuk mengambil pekerja terjejas.


"PERKESO sedang memuktamadkan perincian jawatan yang ditawarkan bagi membolehkan proses padanan pekerjaan diteruskan berdasarkan kelayakan serta kemahiran pekerja," tambah kenyataan tersebut.


Menerusi kenyataan sama KESUMA juga memaklumkan akan terus memantau perkembangan semasa melalui agensi berkaitan.


Kementerian itu menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memastikan pekerja menerima hak mereka, mendapat akses kepada bantuan yang layak serta dibantu memperoleh pekerjaan baharu secepat mungkin.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page