top of page

Karpet merah: Dialog Malaysia-Myanmar tidak putihkan kekejaman junta

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
35 minutes ago
2 min read
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Munim
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Munim

Ruang dialog dengan kepimpinan Myanmar tidak sepatutnya dianggap sebagai pengiktirafan terhadap tindakan junta negara itu.


Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim berkata, perundingan dan sesi dialog merupakan sebahagian pendekatan diplomasi yang digunakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik.


"Kritikan terhadap sebarang hubungan dengan kepimpinan Myanmar memang wajar didengar.


"Kekejaman terhadap rakyat Myanmar tidak boleh diputihkan dan pendirian Malaysia mengenai Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN juga tidak dikompromikan. Namun kita juga perlu berlaku adil terhadap fakta," katanya.


Muhammad Kamil berkata demikian dalam hantaran di media sosial bagi mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berhubung risiko legitimasi susulan dakwaan layanan ‘karpet merah’ terhadap Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing.


Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat sementara itu menegaskan, sejarah diplomasi Malaysia turut menunjukkan bahawa rundingan dengan pihak yang mempunyai pendirian berbeza tidak semestinya bermaksud mengiktiraf atau bersetuju dengan perjuangan mereka.


Ia termasuk Rundingan Baling pada 1955 apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, duduk semeja dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.


"Tunku berunding kerana sebagai pemimpin, beliau mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mencari jalan menghentikan keganasan dan menyelamatkan nyawa.


"Selain itu, keputusan Tun Abdul Razak pada 1974 untuk mengadakan lawatan ke Beijing, bertemu Mao Zedong dan Zhou Enlai sebelum Malaysia membuka hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.


"Ini kerana langkah berkenaan dibuat ketika ancaman komunis masih menjadi kebimbangan negara dan sentimen anti komunis ketika itu masih kuat," jelasnya.


Justeru menurut Muhammad Kamil, persoalan lebih penting bukan mengenai istilah ‘bentang permaidani merah’, sebaliknya tuntutan yang dibawa Malaysia ketika berada di meja rundingan.


"Diplomasi memerlukan keberanian untuk berkomunikasi dengan pihak yang tidak dipersetujui, khususnya apabila melibatkan keamanan, keselamatan rantau dan nyawa manusia.


"Kita boleh mengecam kekejaman dan pada masa yang sama bercakap dengan mereka yang mempunyai kuasa untuk menghentikannya. Kedua-duanya tidak bercanggah," tambahnya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page