Belanjawan 2027: Jangan terpedaya maklumat tidak sahih di media sosial


Orang ramai dinasihatkan tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat tidak disahkan berkaitan Belanjawan 2027, termasuk yang kelihatan seperti pengumuman rasmi kerajaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memberi amaran terdapat kemungkinan ada pihak tertentu cuba mengeluarkan maklumat lebih awal di media sosial sebelum pembentangan Belanjawan 2027 bagi mengelirukan.
"Saya menjangkakan mungkin ada pihak yang cuba mendahului ucapan Perdana Menteri. Tidak perlulah menggunakan media sosial untuk berbuat demikian.
"Mungkin ada pihak yang menyalahgunakan gambar atau logo organisasi media dan menghasilkan grafik yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan apa yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri.
"Jangan terus percaya atau berkongsi sesuatu maklumat hanya kerana ia kelihatan meyakinkan atau memaparkan logo sesebuah organisasi media," katanya dipetik laporan media.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan berkata begitu selepas merasmikan Kompleks Kementerian Komunikasi bernilai RM9 juta di Labuan pada Rabu.
Sehubungan itu, Fahmi menggesa orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan organisasi media yang mempunyai kredibiliti selain melakukan semakan silang sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan tular.
Orang ramai juga diminta melaporkan kandungan mencurigakan atau dipercayai palsu kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
Sebagai rekod, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.




Comments