KESUMA akan tubuh Majlis Perundingan Gig libat semua pemegang taruh
- Suara Keadilan

- 47 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menubuhkan Majlis Perundingan Gig sebaik sahaja Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dikuatkuasakan nanti.
KESUMA dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis itu merupakan platform tripartit yang melibatkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak.
Katanya, ia berfungsi untuk menasihati serta mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai, serta perkara-perkara lain yang melibatkan kebajikan dan kepentingan pekerja gig.
Majlis itu juga kata KESUMA akan menjadi platform dialog dan rundingan berterusan berkaitan dasar serta isu-isu yang timbul dalam sektor gig, termasuk usaha memastikan pekerja gig memperoleh pendapatan yang lebih stabil, adil dan mampan.
"KESUMA berpandangan isu bidding dalam kalangan pemandu e-hailing merupakan antara perkara awal yang akan dibincangkan di bawah majlis ini bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pemandu, platform dan pengguna.
"KESUMA turut menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam menangani isu ini secara menyeluruh, demi menjaga kebajikan pekerja gig dan kelestarian ekosistem ekonomi platform di negara ini," kata kementerian itu.
Dalam pada itu, KESUMA turut mengambil maklum laporan media Sinar Harian bertajuk 'Gesa Anthony Jawab Isu Bidding' bertarikh 23 Disember 2025, serta isu penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar-menawar atau bidding yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pekerja gig kepada MOT.
"Antara pertubuhan yang telah menyuarakan kebimbangan tersebut ialah Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GIG Digital Malaysia (LEAD), Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM), Pertubuhan Tenaga GIG Melaka (Tenaga GiG).
"Selain itu, Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Penghantar dan Pemandu e-Hailing Sabah, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah.
"Untuk makluman, RUU Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos dan September yang lalu dan kini sedang dalam proses pewartaan dan RUU berkenaan dicadang untuk dikuatkuasakan pada tahun 2026," kata KESUMA lagi.









Comments