Keselamatan negara semakin lemah, PM Muhyiddin wajar berundur



Insiden suspek penipuan siber, Macau Scam yang melarikan diri daripada ditahan polis selepas dibebaskan daripada tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini memalukan Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Timbul pertanyaan adakah aspek keselamatan di Malaysia semakin lemah sejak Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambilalih pentadbiran negara?


Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kelemahan itu sekiranya berlaku di negara maju mewajarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meletak jawatan


Selain itu, katanya, sindiket Macau Scam yang didakwa mendapat perlindungan pegawai tinggi polis juga mencemarkan imej Muhyiddin yang sebelum ini menerajui KDN.


"Hamzah dan Muhyiddin lalai dalam menjalankan tugas. Benda tidak mustahak (mencatur politik) diberi perhatian. Dalam kes ini wajar mereka berdua undurkan diri kerana rakyat Malaysia memerlukan satu kepimpinan yang berkualiti dan berkesan.


"Saya melihat isu-isu yang berlaku ini menyebabkan terhakisnya kepercayaan orang ramai terhadap institusi kerajaan. Sekarang makin banyak terjadinya kes-kes yang memalukan negara.


"Soal Macau Scam, kalau tidak ada dalang dipihak berkuasa tidak mungkin sindiket ini boleh berkembang begitu besar dan lama.


"Oleh itu, rakyat tidak boleh menunggu lagi kerana kes-kes jenayah sebegini perlu segera diselesaikan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Minggu lalu negara digemparkan suspek utama jenayah Macau Scam berjaya meloloskan diri ketika dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk diserahkan kepada pihak polis bagi menjalani siasatan lanjut. Suspek dilaporkan memanjat pagar dengan dibantu dua pengawal peribadinya.


Sehubungan itu, rakyat mengecam tahap keselamatan di bangunan SPRM dan kelemahan Menteri Dalam Negeri.


Kata Azan, sekiranya pemerintahan Muhyiddin tidak lagi mampu menangani penjenayah secara berkesan maka seharusnya beliau menyerahkan kuasa kepada individu yang lebih layak memimpin.


Sewajarnya, kata Azan, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih cekap dan efisyen dilantik sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah-masalah yang semakin parah melanda negara.


"Anwar memberi jaminan yang cukup jelas dari dulu lagi, sejak 1998 sampai sekarang tidak pernah sedikit pun lari daripada asas untuk membawa negara ke tahap tertinggi kredibilitinya.


"Beliau dari dahulu berjuang membanteras rasuah, meningkatkan kredibiliti polis dan keupayaan SPRM. Ini semua reformasi yang dibawa oleh Anwar," katanya.


Menurut Azan lagi, sekiranya Anwar diberi peluang menjadi PM keadaan tidak akan sama sebagaimana pemerintahan Tun Mahathir selepas pilihan raya umum 2018 lalu.


Katanya, pentadbiran Tun tidak membawa reformasi yang dijanjikan. Kemudian kerajaan diambilalih oleh parti-parti mengadu domba isu Melayu-Islam seperti Umno dan Pas yang memburukkan lagi keadaan.


"Dr Mahathir memimpin negara selama 22 bulan tak ada perubahan, sekarang Muhyiddin hampir setahun sama sahaja. Pas masuk dalam kerajaan pun tidak menyelesaikan masalah, cuma merumitkan lagi.


"Sebagai contoh di Terengganu negeri yang dipimpin Pas sepenuhnya tiba-tiba dilaporkan kadar penyalahgunaan dadah dan penyebaran dadah paling tinggi, apakah semua ini?


"Ini memberi gambaran bahawa kepimpinan yang ada tidak berkesan dan perlu diganti," katanya lagi.


Tambah Azan, kepimpinan Anwar tidak pernah teruji. Sekarang adalah masa terbaik untuk rakyat menguji kepimpinan beliau membawa Malaysia keluar dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang berpanjangan sejak sedekad lalu.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio