Kes Zara Qairina: Siasatan polis dibuat ikut prosedur rapi - Saifuddin
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 4 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan dalam kes kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menerusi proses perundangan yang sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, keadilan dan kebenaran yang ingin ditegakkan tidak boleh berdasarkan fakta separuh masak atau tuduhan rambang yang tidak bertanggungjawab.
''Keadilan dan kebenaran mesti ditegakkan berdasarkan kepada fakta dan proses undang-undang yang sah.
''Kita tolak kalau ada yang memainkan sentimen politik, membuat spekulasi dan dakwaan yang jahat.
''Kita tangkap seorang guru yang buat kandungan TikTok bahawa adik Zara ini dibunuh dengan cara masuk dalam mesin basuh, dan bila kita soal siasat mengapa buat begitu, dia cakap nak buat 'content' sahaja.
''Guru Bahasa Inggeris kita tangkap.. dan kalau Peguam Negara setuju.. dia akan dituduh.. tapi 'content' dia itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat dalam dan luar dewan sehingga membawa kepada sentimen yang membengkak dan membentuk gelombang.
"Cara dia susun ayat seolah-olah begitu lah punca kematian (adik Zara),'' katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika Sesi Penerangan Menteri.
Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin berkata, sejak saat pertama kejadian pada awal pagi 16 Julai jam 3 pagi, di saat adik Zara terdampar di longkang asrama, setiap langkah yang diambil pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, pembantu pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kinarut tiba seawal jam 3.45 minit pagi untuk memberi rawatan awal dan pada masa itu adik Zara masih bernafas.
''Jatuh.. (tapi) masih bernafas.. penolong pegawai perubatan sampai pagi itu juga dan ini menunjukkan respon pantas dan komited dari barisan hadapan perkhidmatan kesihatan.
''Ibu mangsa dihubungi dan dimaklumkan pagi itu juga oleh pihak sekolah jam 4 pagi.. ini membuktikan pihak sekolah tidak berlengah dalam memaklumkan kepada keluarga iaitu ibunya.
''Adik Zara kemudian dibawa segera ke hospital Queen Elizabeth jam 4.27 pagi untuk rawatan lanjut dan doktor segera memberikan rawatan dan memasang alat bantuan pernafasan.
''Pihak polis tidak berlengah dalam mengendalikan kes ini, laporan maklumat pertama telah dibuat oleh seorang guru pada jam 8 pagi pada hari yang sama.
''Ibu mangsa pula tiba di hospital jam 10 pagi untuk melihat keadaan anaknya. Selepas bertarung nyawa, adik Zara menghembuskan nafas terakhir pada 17 Julai jam 1.07 tengah hari dan doktor mengesahkan adik Zara meninggal akibat kecederaan otak yang teruk,'' jelas beliau.
Tambah Saifuddin lagi, laporan polis kedua dibuat oleh ibu mangsa pada jam 1.40 petang hari sama.
''Pada jam 3.30 petang pula, pegawai penyiasat polis Bukit Aman yang mengendalikan kes ini pada awalnya, (sekarang pasukan Bukit Aman ambil), pegawai penyiasat yang awal itu sampai di hospital, doktor yang merawat mengesahkan punca kematian dan memaklumkan keputusan untuk menjalankan bedah siasat adalah urusan polis.
''Dan pegawai penyiasat kemudian berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan tentang keperluan untuk melakukan bedah siasat.
''Ibu mangsa ketika itu menyatakan beliau nak segerakan pengebumian. anak dia dah cukup derita, dia nak segerakan kebumi.
''Di pihak polis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan.
''Pegawai polis pula bila minta maklumkan kepada ibu, ibu kata dia tak nak buat.. dia nak segera kebumi dan doktor yang bertugas pada jam 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibu, ibu kekal dengan pendirian bahawa dia nak segera kebumi
''Ibu kemudiannya isi dan tandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri disaksikan kakak ipar kepada ibu itu,'' katanya.
Tambah Saifuddin, dokumen semua sudah siap dan keputusan itu (tidak meneruskan bedah siasat) dibuat atas kehendak ibu seterusnya didokumenkan secara sah dan sikap pegawai penyiasat polis ketika itu menghormati sepenuhnya.
Katanya, menghormati tidak meneruskan dari sudut Seksyen 329 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) itu dianggap sebagai tidak mematuhi dan perkara itu telah ditegur dan pihak polis akan mengambil tindakan dalaman.
Jelas beliau kepada dewan, mangsa telah dibawa untuk urusan pengebumian jam 6 petang dan polis segera membuka kertas siasatan pada jam 6.54 petang hari sama dan memulakan siasatan dengan teliti.
''Ini adalah bukti jelas siasatan tidak terhenti. Sejak dari 18 Julai hingga 25 Julai, pada ketika itu kita dah panggil sampai 38 saksi, hari ini sedang saya bercakap, kita telah pun mengambil keterangan daripada 195 saksi.
''Pagi tadi pihak polis telah menyerahkan kepada Peguam Negara dan sekarang tunggu keputusan Peguam Negara sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan apakah proses seterusnya.
''Pada masa sama, hari ini juga di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah menetapkan tarikh-tarikh dan inkues akan dimulakan pada 3 dan 4 September, 8, 9 dan 10 September diikuti 22 hingga 30 September," katanya lagi.
''Hal ini kita buat atas satu sahaja niat untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan dalam konteks episod ini.
''Siasatan kita menyeluruh dan terperinci dan untuk kali pertama isu ini dibangkitkan oleh rakan-rakan saya ahli parlimen pada 30 Julai, pada ketika itu sudah timbul beberapa kenyataan seperti yang terlibat adalah cucu kepada TYT, Pengetua adalah isteri kepada Menteri, cara mati didera dalam mesin basuh.
''Keadaan itu dah jadi toksik (sampai) begitu sekali. Siasatan polis (pula) tidak menemui semua perkara-perkara yang disebutkan itu. Tidak ada sama sekali setelah keterangan daripada 195 saksi yang kita ambil,'' tegas beliau.
Comentarios