top of page

Kes pelajar murung meningkat: Sekolah diarah laksana intervensi segera

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 34 minutes ago
  • 1 min read

Pihak sekolah disarankan segera melaksanakan intervensi terhadap pelajar yang dikenal pasti menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan mental.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, langkah tersebut bagi memastikan kebajikan dan keselamatan golongan pelajar kekal terpelihara.


"Kita laksanakan intervensi saringan kesihatan mental, kemudian pengupayaan kaunselor-kaunselor sekolah (turut) diberikan perhatian.


"(Jika) ada saja tanda-tanda ini (masalah kesihatan mental), kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera," katanya dipetik media tempatan.


Fadhlina berkata begitu pada sidang media selepas menghadiri satu acara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Yahya Awal, di Johor Bahru pada Selasa.


Media sebelum ini melaporkan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi menunjukkan peningkatan dua kali ganda.


Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan itu daripada 7.9 peratus (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) pada tahun 2023.


Sementara itu menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) pada Oktober lalu telah menggandakan pelaksanaan Program Saringan Minda Sihat kepada dua kali setahun.


Program berkenaan bagi pengesanan awal terhadap pelajar yang menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau memerlukan sokongan serta intervensi lanjut.


Sementara itu tambahnya, Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid Sekolah yang diperkenalkan KPM wajib dilaksanakan oleh kesemua pentadbir sekolah tanpa sebarang kompromi.


Katanya usaha itu adalah antara langkah yang dilakukan kementerian dalam memastikan segala isu terkait dengan keselamatan murid terus diberikan keutamaan.


Bercakap dalam sidang media tersebut, beliau turut meminta ibu bapa untuk sama-sama mendukung isu kesihatan mental dengan melihat keadaan anak-anak mereka dan mengambil langkah-langkah intervensi bersama-sama pihak sekolah bagi memastikan bahawa isu kesihatan mental sentiasa diberikan keutamaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page