Kes Najib: Tolak naratif mengelirukan keputusan mahkamah - AMK Johor
- Suara Keadilan
- 10 minutes ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menegaskan bahawa keputusan mahkamah menolak permohonan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah berlandaskan undang-undang sedia ada, sama seperti yang pernah diguna pakai dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2016.
Menurut Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad (gambar), undang-undang yang tidak membenarkan pelaksanaan tahanan rumah sedekad lalu telah kekal digunakan pada tahun 2025, sekali gus menjelaskan bahawa keputusan mahkamah dibuat berasaskan kerangka perundangan yang sama.
"Dulu pada tahun 2016, undang-undang tidak membenarkan tahanan rumah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sekarang pada tahun 2025, mahkamah menggunakan undang-undang yang sama. Maka permohonan Datuk Seri Najib Razak ditolak," menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, AMK Johor menolak sebarang cubaan membina naratif mengelirukan yang mengaitkan keputusan mahkamah berkenaan dengan isu kononnya terhakis kuasa institusi Raja-Raja Melayu.
"Jangan bina naratif bukan-bukan seperti dakwaan kononnya kuasa Raja-Raja telah dikurangkan. Dakwaan sebegitu langsung tidak ada kena mengena dengan keputusan mahkamah," tegas Faezuddin.
AMK Johor juga mengingatkan semua pihak agar tidak memecah-belahkan rakyat dengan mewujudkan tafsiran yang tidak berasas, sebaliknya perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
"Tolong jangan pecah-belahkan rakyat dengan mewujudkan perkara yang tidak logik dan hormatilah undang-undang," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berpandangan keputusan mahkamah tersebut tidak wajar diraikan sebagaimana tindakan seorang pemimpin komponen Kerajaan Perpaduan demi menjaga keharmonian dalam Kerajaan.
"Selain itu, kita janganlah meraikan keputusan ini. Tidak manis.
"Walaupun ada beza pandangan, kita gesa hormati keputusan mahkamah tapi dalam masa sama perlu jaga perasaan kawan-kawan dalam perpaduan. Ini pendirian kita," katanya lagi.





