top of page

Kes Najib: Jangan sindir, ugut tinggalkan kerajaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

ree

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengingatkan semua pimpinan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan agar terus memelihara nilai penyatuan yang telah dibina, dan tidak menjadikan isu sensitif seperti penolakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk membenarkan bekas Perdana Menteri Najib Razak ditahan di rumah sebagai bahan jenaka atau modal politik yang boleh mengguris perasaan rakyat.


Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, isu yang menjadi sensasi tidak sepatutnya dibuat lelucon walaupun ia disifatkan sebagai pandangan peribadi oleh mana-mana pihak.


"Saya mengajak semua pimpinan agar tidak menjadikan rakyat sebagai bahan dagangan dengan mengheret mereka kepada perselisihan politik yang berlaku.


"Sekalipun apa jua alasan mana-mana pihak yang mempertahan atau menganggap ia sebagai satu kenyataan bersifat peribadi nilai rasa hormat kepada rakyat harus tidak dicemari sama sekali," katanya dalam satu kenyataan media.


Selain itu, katanya, pemimpin politik seharusnya tidak melakukan ugutan politik untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan sebagainya yang boleh menghilangkan rasa hormat rakyat terhadap mereka.


"Kematangan politik di pihak kerajaan harus menjadi satu anjakan baru kepada rakyat dan bukan meneruskan tradisi pemikiran yang dibawa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.


Siti Aishah turut menyeru seluruh kepimpinan Kerajaan Perpaduan supaya memberi fokus kepada pembinaan negara dan memastikan dasar-dasar kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat, bukannya menganggap medan politik sebagai milik peribadi.


"Cukuplah menjadikan medan politik sebagai hak milik peribadi sesuai dengan ungkapan yang sering disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim “Jangan bina istana di atas pusara.” Maka usahlah kita bergembira atas derita orang lain," katanya.


Tegas Siti Aishah, masa kini adalah waktu untuk bekerja demi rakyat dan negara, bukan terjebak dalam politik yang menjengkelkan serta tidak mematangkan demokrasi.


"Jika kita tidak mampu menjadi kebaikan kepada sesiapa, janganlah kita menjadi punca kepada keburukan yang melukakan. Ini masa untuk bekerja, bukan politik jengkel yang tidak mematangkan," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page