Kes kenaikan premium insurans tiga kali ganda membebankan - Sim
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kes kenaikan premium insurans terus menerus berlaku meskipun mendapat teguran Bank Negara Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, beliau konsisten mempertahankan hak rakyat yang terkesan dengan kenaikan premium kerana hampir separuh penduduk negara ini bergantung kepada insurans kesihatan.
Tegas beliau, syarikat insurans tidak sepatutnya sewenang-wenang menaikkan premium sehingga boleh mengancam nyawa rakyat yang tidak mampu membayarnya.
Terdahulu, beliau menerima aduan daripada seorang bapa tunggal yang mahu dikenali sebagai Encik Eson, berusia 55 tahun, mempunyai polisi insurans syarikat ketika dia masih bekerja dan dikesan mengalami kanser pundi kencing tahap satu pada 2018.
Kanser lelaki itu bagaimanapun telah pulih dengan kosnya ditanggung syarikat insurans, dan sebagai langkah berjaga-jaga, beliau telah mendapatkan polisi insurans diri sendiri 15 tahun lalu dengan bayaran premium sebanyak RM652 sebulan.
Bagaimanapun, menurut Tze Tzin baru-baru ini syarikat insurans itu didakwa menaikkan premium daripada RM652 kepada RM1,800.

''Kenaikan tiga kali ganda premium insurans ini memang membebankan individu oleh seseorang pesara seperti bapa tunggal itu.
''Bagai jatuh ditimpa tangga, doktor pula mengesahkan kansernya kembali menyerang tubuhnya.
''Masa ini simpanan semua sudah licin, syarikat insurans pula bertegas untuk tidak menurunkan bayaran premium. Macam mana dia nak bertahan," kata beliau.
Kenaikan premium, kata Tze Tzin, menyebabkan banyak kes terutama warga emas yang tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap enggan meneruskan perlindungan insurans.
"Pada November 2024, saya bangkitkan isu ini di Parlimen dan bertemu dengan Gabenor Bank Negara (BNM). Ekoran daripada itu, BNM telah memperkenalkan satu “langkah interim” dengan menetapkan had siling kenaikan maksimum iaitu sebanyak 10% selama 3 tahun," katanya.
Manakala dalam kes Encik Eson, Tze Tzin sendiri sendiri membantu pemegang polisi itu menghantar aduannya kepada BNM, dan akhirnya premium beliau diturunkan semula kepada RM652.
"Hampir separuh rakyat Malaysia bergantung pada insurans untuk perlindungan kesihatan. Syarikat insurans tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga premium dan mengancam nyawa rakyat.
"Ini soal hidup dan mati! Saya berjanji, saya akan berjuang berhabis-habisan mempertahankan hak rakyat. Saya takkan membenarkan perkara ini berlaku lagi," tegas Sim yang juga calon Naib Presiden KEADILAN dalam Pemilihan 2025.