Kerusi Muar milik PH, KEADILAN calon terbaik untuk menang - AMK
- Suara Keadilan
- Aug 30
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor menegaskan bahawa kerusi Parlimen Muar adalah milik Pakatan Harapan (PH) dan parti itu merupakan calon terbaik untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Sehubungan itu Pengarah Pilihan Raya AMK Johor, Jalex Lee (gambar), menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berhubung hasrat KEADILAN untuk mendapatkan kembali kerusi berkenaan.
"Saya menyokong sepenuhnya kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berhubung hasrat KEADILAN untuk bertanding di kerusi parlimen Muar pada PRU-16 yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Jalex Lee kemenangan ahli politik dari parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar pada PRU-15 dicapai melalui pakatan pilihanraya bersama PH.
Namun, perubahan pendirian Muda kini membatalkan kerjasama tersebut.
"Perlu diingat bahawa Syed Saddiq telah memenangi kerusi Parlimen Muar pada PRU-15 melalui kerjasama pilihanraya serta sokongan kempen yang selari dengan Pakatan Harapan.
"Tindakan berpaling daripada komitmen ini merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat kerjasama yang telah membawa kemenangan tersebut," jelasnya.
Mengulas komposisi demografi Muar yang terdiri daripada lebih 60% pengundi Melayu dan sekitar 30% bukan Melayu, beliau menegaskan bahawa KEADILAN adalah parti paling sesuai mewakili PH.
"Sejak penubuhannya, KEADILAN secara konsisten memperjuangkan ideologi berbilang kaum, menjadikan parti ini pilihan untuk mengoptimumkan peluang untuk menang," katanya.
Justeru, kata beliau KEADILAN yakin bahawa meletakkan calon parti itu di Muar akan memberikan kelebihan buat PH.
"Dengan rekod pencapaian yang terbukti serta asas perjuangan majmuk yang kukuh, KEADILAN akan memberikan peluang terbaik kepada Pakatan Harapan untuk merampas kembali Muar pada PRU-16," tegas Jalex Lee.
Comments